KOTA KINABALU: Di sebalik kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan, rakyat Sabah berkongsi satu nilai yang sama, iaitu semangat perpaduan.
Keharmonian antara pelbagai etnik merupakan aset penting dalam memastikan kestabilan sesebuah negara dan Sabah membuktikan kepelbagaian lebih daripada 30 etnik yang dipupuk melalui toleransi mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata ikatan sosial yang kukuh antara kaum seperti Kadazan Dusun, Bajau, Murut, Cina dan Melayu menjadi tunjang kestabilan negeri.
"Apabila hubungan antara etnik dipelihara menerusi sikap toleransi dan saling menghormati, risiko konflik dapat diminimumkan.
"Keadaan ini sekali gus mewujudkan persekitaran sosial yang selamat serta kondusif untuk pembangunan mampan," katanya kepada Bernama bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertemakan 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati'.
Romzi menjelaskan keharmonian etnik turut merangsang aktiviti ekonomi, sektor pelancongan dan menyumbang kepada kesejahteraan emosi masyarakat melalui pelaksanaan program perpaduan yang berterusan dan inklusif pada peringkat komuniti serta institusi pendidikan.
"Aktiviti silang budaya mampu mengurangkan stereotaip dan mewujudkan generasi yang menghargai kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.
"Pembangunan inklusif Kerajaan MADANI pula memastikan setiap etnik menikmati peluang saksama menerusi akses adil kepada pendidikan dan bantuan bersasar," katanya.
Sementara itu, Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES) Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata keharmonian etnik Sabah adalah aset unik membina ekosistem sosial yang berdaya tahan.
Daripada sudut ekonomi pula beliau berkata keupayaan pelbagai kaum mengekalkan keamanan menjadi magnet utama aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) kerana risiko keselamatan yang sangat rendah.
"Kepelbagaian bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan bahasa etnik tempatan turut meningkatkan daya saing modal insan pada peringkat antarabangsa," katanya.
Syahruddin berkata kestabilan sosial membolehkan kerajaan menumpukan dana negara secara optimum terhadap pembangunan infrastruktur moden selain amalan meraikan perayaan bersama menyuburkan semangat kejiranan inklusif dan meningkatkan produktiviti serta keharmonian keluarga.
Tinjauan Bernama di beberapa perumahan dan perkampungan dekat sini menyaksikan perpaduan antara kaum terus menjadi amalan masyarakat, dengan penduduk pelbagai etnik hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Ketua Kampung Lapasan, Telipok, Simon Ganjun berkata penduduk berbilang etnik di kampung berkenaan sentiasa bersatu padu menjayakan program kemasyarakatan.
"Aktiviti kesukarelawan seperti gotong-royong dapat merapatkan jurang komunikasi antara jiran pelbagai etnik. Saya juga berharap lebih banyak program perpaduan Kerajaan MADANI dianjurkan di kawasan ini," katanya.
Berkongsi rasa yang sama, peniaga kecil dari Kapayan di sini Esther Monjikon, 42, berkata keharmonian pelbagai etnik di kawasan perumahannya sememangnya telah lama wujud menerusi amalan jiran tetangga yang saling membantu dan meraikan perayaan bersama.
"Kehidupan harmoni di Sabah wajar dijadikan model perpaduan nasional selari dengan semangat Malaysia MADANI kerana kestabilan sosial ini memberikan rasa selamat serta ketenangan emosi kepada rakyat untuk bekerja dan membesarkan keluarga," katanya yang berniaga di Tamu Donggongon, di sini.
-- BERNAMA