Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN kekal label ‘underdog’, elak jentera terlalu yakin - Ahmad Zahid

Zahid Hamidi, RISDA_Astro AWANI
Ahmad Zahid bercakap dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah Tahun 2026, di sini, pada Selasa. - Foto Astro AWANI

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) akan terus berkempen dengan mentaliti sebagai ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memastikan seluruh jentera kekal merendah diri dan tidak terlalu yakin sehingga menjejaskan imej parti.

Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pegangan sebagai 'underdog' bukan sekadar strategi politik, sebaliknya peringatan kepada pemimpin dan jentera parti supaya terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen.

Katanya lagi, pendekatan itu juga bagi mengelakkan mana-mana pemimpin daripada mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.

“Maka ‘underdog’ ini penting pada kami supaya kami tidak terlepas pandang kepada kumpulan sasaran, biar sekecil mana pun kumpulan itu.

“Pegangan 'underdog' ini juga untuk mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya tidak melakukan sesuatu di luar daripada norma atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak dapat diterima pengundi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah 2026, di sini, pada Selasa.

Menurut Ahmad Zahid, kelebihan lazimnya berpihak kepada parti yang memerintah iaitu Pakatan Harapan (PH), justeru seluruh jentera BN perlu terus menyantuni pengundi sehingga hari pengundian.

“Kita adalah ‘underdog’ kerana yang menjadi kerajaan negeri ialah gabungan parti yang berbeza daripada kita walaupun kita bersama di peringkat nasional.

“Sebagai parti gabungan yang 'underdog', tentu kelebihan itu pergi kepada parti gabungan yang memerintah. Jadi kami bekerja dengan penuh rendah diri,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, BN akan terus menawarkan manifesto yang memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan pelaburan sebagai asas untuk meraih semula keyakinan rakyat Negeri Sembilan. 

Must Watch Video

Advertisement