Skip to main content

Malaysia

Iskandar mahu ubah mentaliti Letshanaa, Ling Ching agar lebih berani cabar kelompok elit

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Bekas pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pulang ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai Ketua Jurulatih perseorangan wanita (eng: Head Coach of the Women’s Singles department) ketika ditemui media pada sesi latihan bersama atlet di Petronas Akademi Badminton Malaysia dekat Bukit Kiara di sini.  --fotoBERNAMA(2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Iskandar berkata penyertaan Letshanaa dan Ling Ching pada Kejohanan Dunia 2026 merupakan sebahagian daripada persediaan menuju ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu dua pemain utamanya K. Letshanaa dan Wong Ling Ching mengubah mentaliti daripada sekadar memburu mata ranking kepada lebih berani mencabar pemain terbaik dunia selepas ini.

Iskandar berkata cabaran dilontarkan kepada pemain ranking ke-28 dunia Letshanaa dan Ling Ching yang menghuni ranking ke-36 dunia itu perlu disahut mereka bermula Terbuka Jepun 2026 dan Terbuka China 2026 sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

"Pemain perlu miliki karakter sebagai perseorangan wanita negara supaya perlu lebih berani dan mencabar pemain negara luar. Dengan adanya keyakinan, saya rasa sebelum inipun mereka sudah buktikan dapat main bagus.

“Mereka perlu lebih bersemangat kerana jika pergi sekadar untuk dapatkan mata tidak berguna juga,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini, hari ini.

Terbuka Jepun 2026 (Super 750) dijadual bermula 14-19 Julai diikuti Terbuka China 2026 (Super 1000) dari 21-26 Julai manakala kempen kelayakan LA 2028 pula bermula dari 3 Mei 2027 hingga 30 April 2028.

Walaupun menyedari cabaran mengubah mentalilti memakan masa, namun Iskandar berharap agar anak buahnya kekal berada dalam landasan untuk terus menandingi kehebatan pemain yang berada di kedudukan lebih tinggi.

“Cara game plan (rentak permainan) mereka kadang-kadang boleh hilang, pada saya mereka perlu lebih konsisten untuk cuba lawan pemain 10 teratas atau 20 teratas,” katanya.

Iskandar pada masa sama berkata penyertaan Letshanaa dan Ling Ching pada Kejohanan Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 17-23 Ogos di New Delhi merupakan sebahagian daripada persediaan menuju ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept-4 Okt ini.

Sementara itu, Ling Ching mengakui tidak meletakkan sasaran tertentu pada Terbuka Jepun 2026, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada meningkatkan prestasi, rentak permainan serta mengembalikan keyakinan diri selepas prestasinya terjejas susulan kecederaan dialami sebelum ini.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah berdepan beberapa siri kecederaan, termasuk kecederaan pinggul dan belakang ketika kem latihan sebelum Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark, April lepas.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak, itu juga berkata tahap persaingan dalam kejohanan Super 750 jauh lebih tinggi, dengan beliau masih dalam proses menyesuaikan corak permainannya agar dapat bersaing secara lebih konsisten di pentas tertinggi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement