TOKYO: Datuk Bandar Yawata, Shoko Kawata, mencipta sejarah apabila menjadi ketua kerajaan tempatan pertama di Jepun yang mengambil cuti bersalin ketika masih memegang jawatan.
Keputusan wanita berusia 35 tahun itu telah mencetuskan perdebatan di seluruh negara berikutan ketiadaan peruntukan khusus mengenai cuti bersalin bagi pegawai yang dipilih menerusi pilihan raya.
Kawata, yang juga antara datuk bandar wanita termuda di Jepun, dijadual melahirkan anak sulungnya pada pertengahan September dan merancang mengambil cuti selama 16 minggu, meliputi tempoh dua bulan sebelum dan dua bulan selepas bersalin.
Di bawah undang-undang buruh Jepun, pekerja wanita menerima kemudahan cuti bersalin sebelum dan selepas kelahiran.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak terpakai kepada datuk bandar dan ahli politik kerana mereka diklasifikasikan sebagai pegawai awam yang dipilih dan bukannya kakitangan yang digaji.
Susulan ketiadaan peruntukan tersebut, Kawata tidak mengambil cuti bersalin secara rasmi.
Sebaliknya, beliau menyerahkan sementara tugas pentadbiran kepada timbalannya, Shigeto Nose, sambil terus memantau beberapa urusan penting secara dalam talian.
Tindakan itu menerima reaksi bercampur-campur daripada masyarakat Jepun. Penyokong melihatnya sebagai langkah positif dalam memperjuangkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga serta usaha menggalakkan lebih ramai wanita menyertai politik.
Bagaimanapun, pengkritik berpendapat pemimpin yang dipilih rakyat tidak sepatutnya meninggalkan tugas rasmi dalam tempoh yang panjang ketika masih memegang jawatan.