Skip to main content

Dunia

Jepun cadang naikkan yuran imigresen warga asing mulai Oktober

61676274111_jepunaplikasigod.jpg
Agensi itu berkata semakan tersebut dibuat susulan peningkatan kos pentadbiran berkaitan pengurusan warga asing, dengan jumlah penduduk asing di Jepun kini melebihi 4.1 juta orang, rekod tertinggi setakat ini. -Gambar hiasan

TOKYO: Kerajaan Jepun mengumumkan draf ordinan kabinet bagi menaikkan yuran beberapa urusan imigresen melibatkan warga asing mulai 1 Oktober ini susulan peningkatan kos pentadbiran dan pertambahan jumlah penduduk asing di negara itu.

Menurut cadangan yang dikemukakan Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun, bayaran bagi pertukaran status kediaman dan lanjutan tempoh tinggal akan dinaikkan kepada antara 10,000 yen hingga 75,000 yen (kira-kira RM250 hingga RM1,900), bergantung kepada tempoh kelulusan yang diberikan.

Ketika ini, pemohon hanya dikenakan bayaran tetap sebanyak 6,000 yen tanpa mengira tempoh lanjutan yang diluluskan.

Kenaikan terbesar melibatkan permohonan status pemastautin tetap apabila kadar bayaran dicadangkan meningkat daripada 10,000 yen kepada 200,000 yen, bersamaan peningkatan 20 kali ganda.

Agensi itu berkata semakan tersebut dibuat susulan peningkatan kos pentadbiran berkaitan pengurusan warga asing, dengan jumlah penduduk asing di Jepun kini melebihi 4.1 juta orang, rekod tertinggi setakat ini.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada semakan Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Pelarian yang diluluskan tahun ini.

Bagaimanapun, kadar berkenaan masih perlu melalui proses maklum balas awam sebelum dimuktamadkan menerusi ordinan kabinet.

Sekiranya diluluskan, struktur bayaran baharu itu dijangka dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2026.

 

Must Watch Video

Advertisement