KUALA LUMPUR: Gaji pekerja sektor formal dalam negara sukar merekodkan pertumbuhan memandangkan pelaburan yang masuk ke dalam negara hanya menawarkan pekerjaan dalam sektor separa mahir atau lebih rendah.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Univesiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Firdausi Suffian berkata, situasi gaji pekerja yang tidak meningkat ini tidak memberi pulangan bermakna kepada rakyat meskipun kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 terus melonjak.
"Kita berada dalam ilusi kestabilan kerana yang menolong (kelangsungan poket rakyat) kita ketika ini ialah subsidi. Untuk meningkatkan gaji, pelaburan yang kita terima kebanyakannya adalah untuk sektor separa mahir dan ke bawah. Maksudnya gaji juga tidak tinggi seperti pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Dalam profil pekerjaan kita, 25 peratus pekerja yang ada kemahiran tinggi. 36 peratus pekerja pula digaji lebih rendah berbanding tahap kemahiran/kelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Penasihat Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan pula berkata, gaji wajar dan boleh dinaikkan selagi ia tidak menjejaskan keupayaan syarikat untuk terus beroperasi secara mampan.
“Adakah syarikat-syarikat di Malaysia dengan sengaja menekan gaji? Sebenarnya tidak. Baru-baru ini kita lihat sebuah syarikat di Melaka menawarkan gaji permulaan yang amat menarik; lebih RM3,000 untuk operator kilang.
“Respons rakyat di Melaka juga memberangsangkan sehingga mereka berbaris sepanjang tiga kilometer. Kalau ada kemahuan dalam kalangan semua pihak untuk tingkatkan pendapatan rakyat, memang boleh dilakukan,” jelasnya.
Malaysia melonjak naik lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh International Institute for Management Development (IMD), sekali gus merekodkan pencapaian terbaik negara sejak 2010.
Tahun lalu, Malaysia turut menunjukkan prestasi kukuh apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi, berbanding tempat ke-34 daripada 67 ekonomi pada 2024, sekali gus memperlihatkan trajektori peningkatan yang konsisten.
Menurut IMD, pengukuhan merentasi kesemua teras tersebut menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia pada tahun ini.
Malaysia menyerlah dengan menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14. Kecekapan perniagaan turut mencatat lonjakan ketara sebanyak 16 anak tangga ke tempat ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga ke kedudukan ke-33.
Bagi subfaktor pula, ekonomi domestik Malaysia naik empat anak tangga ke kedudukan ke-11, manakala perdagangan antarabangsa kekal kukuh dengan peningkatan satu anak tangga ke tempat kelima dunia.
Pelaburan antarabangsa turut mencatat prestasi kukuh apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-19, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap ekonomi negara.
Dialog Poket Rakyat: Daya saing negara melonjak, manfaat untuk rakyat?