SHAH ALAM: Seorang pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, di sini pada 23 Jun lalu, ditemui selamat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi Khamis selepas dipercayai menghabiskan sembilan hari bermalam di sebuah restoran makanan segera.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata remaja berusia 14 tahun, Muhammad Shazriq Ziqri Abdullah, ditemui ibu bapanya di laluan pejalan kaki berhampiran restoran makanan segera berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.
"Selepas ditemui, mangsa dibawa ke Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam bagi membuat laporan berhubung penemuannya," katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat.
Sarudin berkata, hasil siasatan mendapati remaja itu keluar dari rumah selepas dimarahi ibunya susulan prestasi pelajarannya yang semakin merosot.
Katanya, sepanjang tempoh menghilangkan diri, Muhammad Shazriq mengaku berada di sekitar Bukit Bintang dan menjadikan sebuah restoran makanan segera di kawasan itu sebagai tempat bermalam.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan sihat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan ibu remaja itu membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang ke rumah sejak 23 Jun lalu.
Siasatan juga mendapati tindakannya meninggalkan rumah dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan ibunya.
Sebelum menghilangkan diri, remaja itu turut meninggalkan sekeping surat kepada ibunya yang antara lain meminta agar makan dan minumnya dihalalkan serta memohon supaya dia tidak dicari.