KUALA LUMPUR: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyifatkan pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional sebagai detik bersejarah yang dinanti-nantikan bagi meremajakan industri pengangkutan awam darat negara.
Pengerusi GTSM Kamarudin Mohd Hussain berkata inisiatif terbaru itu menawarkan struktur kos pembiayaan harian yang jauh lebih rendah berbanding sistem pajakan syarikat sedia ada.
Beliau turut memuji komitmen syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, yang mempamerkan semangat kenegaraan tinggi bagi membantu transformasi industri tersebut menerusi penggunaan model sedan terkini Proton S70.
“Setakat ini, sebanyak 800 pemandu telah mendaftar dan kini berada dalam peringkat menunggu kelulusan Surat Tawaran Kelayakan (STK) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Melalui program ini, Kementerian (Pengangkutan) mempermudah urusan untuk pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing masuk ke dalam program, manakala pihak Proton melalui EON-Avis menyalurkan maklumat pemandu kepada institusi kewangan bagi urusan pembiayaan fleksibel,” katanya.
Kamarudin ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang disempurnakan Perdana Menteri di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kelulusan khas Kementerian Kewangan yang memastikan kenderaan tersebut menjadi hak milik kekal pemandu, sekali gus membebaskan mereka daripada bebanan sistem pajakan lama.
Sementara itu, rata-rata pemandu teksi yang ditemui pada majlis tersebut melahirkan rasa syukur dan menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai permulaan baharu yang menamatkan tempoh 'terbiar' golongan berkenaan sebelum ini.
Pemandu teksi veteran Adam Rau Abdulla, 61, berkata reformasi berkenaan dilihat sangat adil kerana membuka peluang secara meluas kepada golongan marhaen untuk memiliki kenderaan sendiri tanpa kos operasi yang menindas.
“Kami sudah lama mengusahakan penjenamaan semula ini melalui persatuan dan akhirnya kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke atas pakej pembiayaan yang memudahkan kami,” katanya yang lebih 20 tahun memandu teksi.
Bagi Azli Sulaiman, 52, cabaran kos sara hidup dan persaingan sengit aplikasi digital menyebabkan pendapatan pemandu teksi konvensional amat terjejas berbanding sedekad lepas.
“Selama pertukaran pelbagai kerajaan sebelum ini, kami seolah-olah terbiar dan tiada siapa benar-benar ambil tahu tentang nasib teksi. Hari ini, walaupun kerajaan ini masih baharu, mereka mengambil langkah awal dan bersedia menjaga kebajikan pemandu teksi,” katanya.
Perkara sama dikongsi N Nadaraja, 53, yang menyifatkan program itu sebagai pembaharuan komprehensif bagi meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan teksi.
Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan baharu, sekali gus menamatkan amalan pajakan tradisional dalam industri berkenaan.
Menerusi program transformasi berkenaan, model sedan Proton S70 dipilih sebagai model teksi rasmi terbaru berdasarkan standard keselamatan, tahap keselesaan penumpang serta aspek kecekapan penggunaan bahan api yang optimum.
Identiti baharu teksi Malaysia itu tampil lebih moden, tanpa komponen penanda di atas bumbung serta menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf "GET".
-- BERNAMA