KUALA LUMPUR: Legenda olahraga negara Datuk Marina Chin menyifatkan kejayaan pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencipta sensasi di Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 semalam, sebagai penanda aras baharu buat sukan olahraga negara.
Beliau berkata pencapaian Azeem bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet Malaysia bersaing pada peringkat lebih tinggi, malah memberi motivasi kepada generasi pelapis untuk melepasi standard yang telah ditetapkan pelari berusia 22 tahun itu.
“Saya rasa dia telah menetapkan satu tanda aras yang tinggi untuk Malaysia. Ini perkara yang baik, kerana sekarang kita mempunyai atlet junior yang ada potensi dan mereka ada satu tanda aras untuk diatasi.
“Dia merupakan satu cabaran dan motivasi kepada atlet muda. Kalau Azeem boleh buat, kenapa mereka tak boleh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyediaan Atlet ke arah Temasya Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 Malaysia 2027, di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.
Semalam, Azeem mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga B-23 Asia 2026 di Ordos, China dengan catatan masa 10.17 saat (s).
Sementara itu, Marina berkata antara faktor utama yang membantu perkembangan Azeem ialah peluang menjalani latihan bersama kelompok atlet terbaik dunia di Amerika Syarikat, sepanjang tempoh belajar di Universiti Auburn.
Beliau berkata sekiranya lebih banyak atlet tempatan mendapat pendedahan latihan berkualiti seperti itu, sama ada di luar negara atau melalui program setanding di Malaysia, negara mampu melahirkan lebih banyak pelari bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, mengulas mengenai harapan terhadap Azeem menjelang Sukan Asia, Marina enggan meletakkan sasaran khusus kerana bimbang ia memberi tekanan kepada atlet kelahiran Perak itu.
“Saya jenis orang yang tidak pernah meletakkan sasaran, kerana saya percaya kita jangan ganggu mental atlet. Sebagai bekas atlet, saya tahu berapa besar tekanan yang diterima apabila orang bercakap mengenai sasaran.
“Pesanan saya mudah, anda buat yang terbaik. Kalau buat yang terbaik, keputusan akan datang dengan sendirinya. Azeem masih muda dan masih banyak lagi yang boleh dicapainya,” katanya.
Sementara itu, Marina yang baru dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Prestasi Tinggi berkata beliau akan memanfaatkan pengalamannya sebagai bekas atlet, jurulatih dan pentadbir sukan bagi membantu mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang mungkin dihadapi atlet dan persatuan, sebelum menjadi lebih serius.
Beliau berkata antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah perancangan program persatuan sukan supaya lebih realistik dan selaras dengan kemampuan kewangan tanpa menjejaskan pembangunan atlet.
-- BERNAMA