Skip to main content

Dunia

Piala Dunia: Norway kekurangan skrin besar untuk tayangan suku akhir

Norway's Erling Haaland (9) celebrates with Andreas Schjelderup (21) after scoring their second goal during the World Cup round of 16 soccer match between Brazil and Norway in East Rutherford, N.J., near New York, Sunday, July 5, 2026. (AP Photo/Pamela Smith)
Banyak pihak berkuasa tempatan dan syarikat merancang untuk menayangkan perlawanan tersebut kepada khalayak ramai pada Sabtu, namun bekalan skrin besar dilaporkan sangat terhad. - Gambar/ AP

COPENHAGEN: Pihak berkuasa tempatan Norway dan penganjur acara kini bertungkus-lumus mendapatkan skrin besar menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia membabitkan pasukan kebangsaan mereka menentang England, menurut media Scandinavia pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Banyak pihak berkuasa tempatan dan syarikat merancang untuk menayangkan perlawanan tersebut kepada khalayak ramai pada Sabtu, namun bekalan skrin besar dilaporkan sangat terhad.

Morten Reffhaug daripada syarikat skrin besar To-Be-More di bandar Lier memberitahu penyiar Norway, NRK, bahawa beliau hampir tidak menang tangan melayan panggilan telefon yang bertali arus bagi mendapatkan bekalan skrin tambahan.

Penyiar DR dan SVT melaporkan pegawai kerajaan Norway telah pun menghubungi syarikat-syarikat di Denmark dan Sweden bagi mendapatkan skrin tambahan untuk aksi suku akhir Piala Dunia lelaki yang pertama buat Norway.

-- BERNAMA-dpa 

 

Must Watch Video

Advertisement