KEGEMBIRAAN luar biasa susulan kemenangan Mexico ke atas Ecuador dalam saingan Piala Dunia 2026 bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya empat individu dilaporkan maut ketika sambutan besar-besaran di ibu negara Mexico, Mexico City.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Mexico City, tiga mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 19 tahun, seorang wanita berusia 48 tahun dan seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas selepas ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan Paseo de la Reforma, lokasi tumpuan ribuan penyokong yang berkumpul bagi meraikan kejayaan skuad kebangsaan mereka.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia lingkungan 30-an, dilaporkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami serangan jantung. Sebelum itu, beliau menerima rawatan kecemasan akibat sawan dan pendarahan gastrointestinal.
Kemenangan 2-0 ke atas Ecuador menyaksikan Mexico mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus menamatkan penantian 40 tahun negara itu untuk mencatat kemenangan dalam peringkat kalah mati kejohanan berprestij tersebut.
Pihak berkuasa bandar raya Mexico City menganggarkan kira-kira satu juta orang membanjiri pusat bandar untuk menyertai sambutan yang tertumpu di sepanjang Paseo de la Reforma dan sekitar monumen ikonik Angel de la Independencia.
Media tempatan melaporkan insiden rempuhan dipercayai tercetus selepas penggunaan bunga api menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai. Keadaan itu mengakibatkan sebahagian penyokong berlari menyelamatkan diri sebelum beberapa individu terjatuh dan dipijak.
Walaupun pihak berkuasa sebelum ini telah memperketat langkah keselamatan termasuk melarang penjualan alkohol pada hari perlawanan Mexico dan menambah jumlah skrin tontonan awam, kesesakan luar biasa tetap berlaku ketika penyokong mahu meraikan kejayaan pasukan tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Kanada itu.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menggesa orang ramai supaya meraikan kejayaan pasukan negara secara bertanggungjawab, berhati-hati dan penuh empati.