Skip to main content

Teknologi

Meta perkenal Brain2Qwerty V2, AI baca gelombang otak dengan ketepatan 61 peratus

Sumber: AMANZ
Brain2Qwerty V2 memanfaatkan teknologi magnetoensefalografi (MEG) untuk mengesan isyarat saraf dari luar tengkorak manusia tanpa memerlukan elektrod ditanam ke dalam tisu otak atau prosedur klinikal invasif. -Foto Amanz

GERGASI teknologi Meta mengumumkan sistem kecerdasan buatan (AI) terbaharu, Brain2Qwerty V2, yang berupaya meningkatkan keupayaan membaca gelombang otak manusia dan menukarkannya kepada teks dalam masa nyata tanpa memerlukan sebarang implan atau pembedahan, lapor Amanz.

Teknologi itu merupakan kesinambungan kepada model Brain2Qwerty V1 yang diperkenalkan sebelum ini, dengan memanfaatkan teknologi magnetoensefalografi (MEG) untuk mengesan isyarat saraf dari luar tengkorak manusia tanpa memerlukan elektrod ditanam ke dalam tisu otak atau prosedur klinikal invasif.

Menerusi ujian terbaharu, Brain2Qwerty V2 mencatat purata ketepatan penyahkodan gelombang otak sebanyak 61 peratus, peningkatan ketara berbanding pendekatan bukan invasif terdahulu yang lazimnya hanya mencapai kadar ketepatan sekitar lapan peratus.

Berbanding versi terdahulu yang tertumpu kepada pengecaman huruf atau aksara tunggal, Brain2Qwerty V2 kini berupaya mentafsir dan menukarkan isyarat otak kepada perkataan secara langsung.

Teknologi itu dibangunkan oleh pasukan penyelidikan Meta dengan kerjasama Pusat Kognisi, Otak dan Bahasa Basque (BCBL) di Sepanyol menerusi projek yang dijalankan sejak 2017.

Menurut Meta, penyelidikan berkenaan berpotensi membantu individu yang kehilangan keupayaan bertutur akibat strok, kecederaan otak atau gangguan neurologi untuk berkomunikasi semula.

Must Watch Video

Advertisement