KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan pada 18 Jun hasil satu pemukiman yang membincangkan isu berkaitan jenayah penipuan dalam talian, susulan kebimbangan peningkatan kes berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat pertama jawatankuasa kerja itu akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkaitan.
“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi, jabatan malah buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform-platform utama termasuk media sosial akan turut dilibatkan,” katanya pada Sidang Media Mingguan Komunikasi Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada Rabu.
Fahmi berkata, langkah itu merupakan pendekatan proaktif kerajaan bagi memperkukuh usaha menangani jenayah penipuan dalam talian dari segi penguatkuasaan, perundangan dan siasatan.
Beliau berkata, ia juga bertujuan memastikan rakyat lebih selamat ketika menggunakan platform digital.
“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia akan dapat lebih selamat bila menggunakan platform-platform digital,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan menjangkakan beberapa perkembangan positif dapat dicapai dalam tempoh tidak terlalu lama hasil penubuhan jawatankuasa berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak dapat memperincikan semua strategi yang dibincangkan bagi mengelakkan ia diketahui pihak tidak bertanggungjawab.
“Ya, kita jangkakan dalam masa yang tak terlalu lama, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tak boleh cakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin di kalangan scammer,” katanya.
Fahmi berkata, pendekatan merentas agensi itu sebelum ini pernah digunakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.
“Jadi kita jangka dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya.