Skip to main content

Malaysia

Isu peluru berpandu: Keputusan Norway tidak jejas hubungan Malaysia-EU - PM

Kuala Lumpur , 2 Julai 2026.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.Astro AWANI /SHAHIR OMAR
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa pemimpin Eropah telah memberi jaminan bahawa tindakan Norway itu tidak mewakili dasar mahupun pendirian rasmi EU terhadap Malaysia. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Keputusan Norway membatalkan lesen eksport bagi satu siri peluru berpandu kepada Malaysia tidak wajar ditafsirkan mencerminkan pendirian keseluruhan Kesatuan Eropah (EU) terhadap negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa pemimpin Eropah telah memberi jaminan bahawa tindakan Norway itu tidak mewakili dasar mahupun pendirian rasmi EU terhadap Malaysia.

"Itulah sebabnya saya berpendapat kita mesti kekal konsisten dalam beberapa isu. Apabila kita bercakap mengenai isu-isu tersebut, kita akan memperoleh lebih banyak penghormatan dan persefahaman.

"Malah, walaupun pemimpin politik kadangkala perlu mengimbangi kepentingan masing-masing, orang ramai diharapkan dapat memahami dengan lebih baik pendirian yang diambil.

"Berhubung Malaysia dan EU, insiden malang melibatkan pendirian Norway terhadap perolehan pertahanan negara kita tidak semestinya menjejaskan hubungan kita dengan EU. 

"Sejurus saya menghantar surat kepada para pemimpin EU dan bertanya sama ada itu cara mereka melayan Malaysia, Presiden Perancis Emmanuel Macron menghantar nota peribadi kepada saya bagi menjelaskan bahawa tindakan itu tidak mewakili pendirian EU," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di sini, hari ini.

Anwar berkata beliau turut membangkitkan perkara itu secara langsung dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, yang memaklumkan bahawa pembatalan lesen eksport berkenaan bukan didorong oleh faktor keselamatan.

Menurutnya, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Norway dan telah lama menjalinkan kerjasama dengan pelbagai negara.

"Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri Norway. Beliau menyatakan tidak timbul soal pertimbangan keselamatan.

"Kita mempunyai hubungan baik dan telah lama menjalinkan kerjasama dengan pelbagai negara. Malah, kita turut mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat dan mereka memberi jaminan bahawa Washington tidak mempengaruhi atau memberi tekanan kepada Norway dalam perkara ini," katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan Malaysia terus berpegang kepada pendirian yang konsisten dalam isu-isu antarabangsa kerana pendekatan itu penting bagi meningkatkan kredibiliti negara serta membina persefahaman yang lebih luas dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

"Apabila kita konsisten dalam sesuatu isu, ia akan meningkatkan kredibiliti dan membantu membentuk konsensus," katanya.

Must Watch Video

Advertisement