Skip to main content

Politik

PRN Johor: Hairi serah soal kerjasama UMNO-PAS kepada pucuk pimpinan

Sumber: FB Hairi Mad Shah
Mohd Hairi menyerahkan sebarang perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Pas pada masa depan kepada pucuk pimpinan parti. - Gambar/ Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyerahkan sebarang perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Pas pada masa depan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dilihat dalam konteks lebih besar termasuk kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kepentingan rakyat.

"Kalau ada suara-suara hendak bekerjasama, itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan. Sebagai pendukung parti, kita menghormati presiden dan kepimpinan parti.

"Kalau demi kestabilan politik, demi kemajuan, kemakmuran negara mahupun negeri, kita serahkan kepada mereka," kata calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu kepada Astro AWANI.

Hairi berkata, rakyat ketika ini lebih mengutamakan kestabilan politik berbanding perbalahan berterusan dalam kalangan parti politik.

"Saya rasa rakyat mahu hidup dalam keadaan aman dan tenteram di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama melibatkan dua parti Melayu terbesar itu susulan kenyataan beberapa pemimpin politik kebelakangan ini.

Dalam masa sama, Hairi berpandangan rasa tidak puas hati dan perbezaan pendapat bukan perkara luar biasa dalam mana-mana parti politik.

"Kita tahu PKR adalah sebuah parti yang besar. Mungkin ada kekecewaan dalam parti. Kita ambil contoh UMNO dan Bersatu, saya rasa konsepnya sama," katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat ketika tumpuan politik negeri terarah kepada DUN Larkin yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara BN, PH dan Parti Bersama Malaysia.

Larkin merupakan kerusi campuran bandar di bawah Parlimen Pulai dengan 76,662 pengundi berdaftar. Pengundi Melayu membentuk sekitar 63.6 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti Cina 26.7 peratus dan India 6.6 peratus. 

Pada PRN 2022, Hairi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 6,178 undi selepas memperoleh 16,053 undi. Kerusi itu sebelum ini dimenangi PH pada 2018 ketika gelombang Pakatan Harapan. 

Bagi PRN Johor kali ini, Hairi mempertahankan kerusi itu berdepan Suhaizan Kayat daripada PH yang juga Ahli Parlimen Pulai dan bekas Speaker DUN Johor, serta Norsinah Abu daripada Parti Bersama Malaysia. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian berlangsung pada 11 Julai. 

Must Watch Video

Advertisement