KUALA LUMPUR: Jenayah siber kini tidak mengenal sempadan apabila rangkaian eksploitasi dalam talian dilihat semakin berleluasa dan bersifat rentas negara, sekali gus menuntut tindakan lebih tegas serta bersepadu daripada pihak berkuasa.
Situasi itu mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantapkan kerjasama domestik dan serantau menerusi beberapa operasi khas sejak 2024 bagi mengekang ancaman jenayah siber termasuk eksploitasi kanak-kanak di platform digital.
Menurut MCMC, antara operasi yang dijalankan termasuk Op Pedo 1.0 pada Disember 2024, diikuti Operasi Cyber Guardian 2025, Op Pedo 2.0 serta Operasi Cyber Guardian 2026 yang melibatkan kerjasama pelbagai negara Asia.
Operasi bersepadu itu memperlihatkan peningkatan skala tindakan penguatkuasaan daripada peringkat domestik kepada operasi serantau yang turut melibatkan negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
Sepanjang empat operasi tersebut, sebanyak 117 tangkapan dilakukan membabitkan 162 lokasi serbuan di seluruh negara dan luar negara terlibat.
Pihak berkuasa turut merampas 272 peranti digital serta mengesan lebih 1.47 juta fail digital untuk tujuan siasatan lanjut.
Daripada jumlah itu, lebih 204,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak atau CSAM dikenal pasti dalam operasi terbaharu, sekali gus mencerminkan cabaran besar yang sedang dihadapi penguat kuasa dalam dunia digital masa kini.
Sebanyak 113 kertas siasatan telah dibuka sepanjang operasi dijalankan, dengan 101 individu setakat ini telah didakwa.
Peningkatan kerjasama antara PDRM dan MCMC turut dilihat penting dalam memperkukuh pemantauan kandungan digital, pengesanan forensik siber serta perkongsian risikan rentas sempadan bagi menangani ancaman jenayah dalam talian yang semakin kompleks.