Skip to main content

Politik

PRN Johor: Suhaizan tawar kerajaan negeri sealiran Persekutuan, fokus isu perumahan di Larkin

Sumber: FB Suhaizan Kayat
Suhaizan menawarkan pentadbiran negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lebih lancar dan berkesan. - Gambar/ Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan (DUN) Larkin, Suhaizan Kayat menawarkan pentadbiran negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lebih lancar dan berkesan.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, kerajaan negeri dan Persekutuan yang bergerak sehaluan akan memudahkan pelaksanaan dasar serta pembangunan sehingga ke peringkat Ahli DUN (ADUN), ahli majlis dan ketua kampung.

"Dari segi negeri Johor, kita sebenarnya menawarkan sebuah kerajaan yang sealiran dengan kerajaan Persekutuan.

"Bila ia sealiran, banyak pembangunan yang bakal dilaksanakan lebih lancar dan mudah diurus," kata calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu kepada Astro AWANI.

Suhaizan berkata, antara isu yang paling banyak dibangkitkan penduduk di Larkin ialah perumahan, khususnya melibatkan golongan muda dan keluarga yang tinggal di kawasan pangsapuri padat.

Katanya, terdapat keluarga besar yang tinggal di kediaman yang tidak lagi sesuai dengan jumlah penghuni.

"Contohnya satu keluarga mempunyai tujuh orang ahli keluarga, lima anak dan dua ibu bapa, tetapi hanya tinggal di rumah satu bilik.

"Ini berlaku di flat Larkin. Saya sendiri melihat perkara itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, selain isu pemilikan rumah, masalah penyelenggaraan bangunan juga memerlukan perhatian, termasuk keupayaan badan pengurusan dalam mengendalikan kawasan kediaman bertingkat.

Menurutnya, pentadbiran dan pengurusan yang baik amat penting bagi memastikan penduduk mendapat perkhidmatan yang berkualiti.

Suhaizan turut berkata isu lain yang sering dibangkitkan penduduk termasuk kesesakan jalan raya, peluang perniagaan, peluang pekerjaan serta keperluan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap menjelang operasi penuh Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Katanya, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor supaya mereka dapat bekerja di negeri sendiri.

"Mungkin gajinya tidak setinggi di Singapura, tetapi mereka dapat bekerja di negara sendiri tanpa perlu keluar seawal pagi atau pulang lewat malam," katanya.

Suhaizan berkata banyak projek yang dirancang di Johor memerlukan sokongan kerajaan Persekutuan dan sebab itu beliau melihat keselarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebagai satu kelebihan untuk rakyat.

DUN Larkin merupakan kerusi bandar di bawah Parlimen Pulai dengan 76,662 pengundi berdaftar. Kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Suhaizan, penyandang Mohd Hairi Mad Shah daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Bersama Malaysia, Norsinah Abu.

Must Watch Video

Advertisement