KOTA TINGGI: Cadangan peluasan kawasan pembangunan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bukan bertujuan mengambil alih atau memiliki tanah di daerah terlibat, sebaliknya bagi menyelaras pembangunan di kawasan yang bakal dimajukan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu perlu diperjelas bagi mengelakkan timbulnya persepsi salah dalam kalangan masyarakat termasuk tanggapan agensi berkenaan berhasrat memiliki tanah di kawasan terlibat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kejayaan projek pembangunan Kejora yang kini mencapai tahap 98.3 peratus menjadi pendorong utama kepada cadangan peluasan berkenaan.
"Projek-projek yang dimajukan itu telah mencapai kejayaan dan pencapaian ini membantu Kerajaan Negeri Johor memperluas pembangunan di Johor Tenggara termasuk di Pengerang yang kini berkembang menerusi pelbagai projek mega dan sektor pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Ahmad Zahid berkata cadangan peluasan itu juga berasaskan kajian maklum balas dijalankan agensi berkenaan yang menunjukkan 96 peratus responden menyokong inisiatif tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan cadangan itu tertakluk sepenuhnya pada perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperuntukkan kira-kira RM138 juta kepada Kejora bagi melaksanakan projek pembangunan di wilayah itu.
"Sebanyak 107 program telah dilaksanakan, manakala kira-kira 350 projek kecil lagi akan menyusul daripada peruntukan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan sokongan terhadap cadangan Azalina untuk menjadikan Pengerang sebagai sebuah daerah baharu serta pembinaan hospital baharu bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Terdahulu, Azalina dalam ucapannya mencadangkan agar status Pengerang dinaik taraf sebagai daerah baharu mengambil kira pertumbuhan yang pesat di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA