BATU PAHAT: Serangan berterusan Pakatan Harapan (PH) terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan petanda bahawa beliau merupakan aset paling penting Barisan Nasional (BN).
Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Onn Hafiz menjadi sasaran kerana kepimpinan dan prestasinya mentadbir Johor sepanjang empat tahun, mampu memberi kelebihan kepada BN.
Katanya, Onn Hafiz berjaya memimpin negeri dengan baik selain mempunyai perancangan serta wawasan yang jelas untuk pembangunan Johor.
“Saya melihat dari sudut positif, bila Datuk Onn Hafiz diserang, maksudnya beliau adalah ancaman kepada pihak yang menyerangnya. Kalau tidak, orang tidak akan peduli.
“Bagi saya, Menteri Besar adalah antara aset terbesar BN. Beliau mentadbir dengan baik selama empat tahun, mempunyai perancangan yang jelas dan wawasan yang berkesan untuk masa depan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membantu kempen calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri di Parit Besar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, tindakan PH yang menjadikan Onn Hafiz sebagai sasaran utama kempen berkemungkinan memakan diri apabila rakyat melihat tiada isu besar yang boleh dipertikaikan terhadap kepimpinan Menteri Besar itu.
“Satu dua ceramah mungkin tidak mengapa, tetapi kalau setiap hari hanya menyerang Menteri Besar, orang akan tertanya-tanya apa sebenarnya kesalahan besar beliau sehingga terlalu obses untuk diserang,” katanya.
Mengulas isu cabaran debat yang terus menjadi perhatian sepanjang kempen, Khairy berkata pelaksanaan acara itu bergantung kepada keadaan dan kesesuaiannya.
Menurutnya, beliau sendiri pernah menyertai debat, namun masanya memilih untuk tidak berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau berpandangan sebarang debat berkaitan kepimpinan negeri sepatutnya membabitkan individu yang berada pada kedudukan setaraf sebagai calon Menteri Besar.
“Kalau sudah dikenal pasti seorang calon Menteri Besar daripada kedua-dua pihak, bolehlah diadakan debat antara calon-calon Menteri Besar.
“Namun sehingga kini PH masih belum menamakan siapa calon Menteri Besarnya. Mereka sendiri belum mendapat pengesahan, jadi bagaimana hendak mengadakan debat antara individu yang tidak berada pada kedudukan yang sama,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa PH menamakan calon Menteri Besar mereka terlebih dahulu sebelum terus mendesak supaya debat diadakan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan namanya disebut-sebut sebagai calon pada PRN Negeri Sembilan, Khairy enggan mengulas lanjut.
“Kita menangkan Johor dulu,” ujarnya ringkas.