JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah mahu pengundi menilai rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco Kerajaan Johor dalam menentukan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai inisiatif membabitkan kebajikan rakyat, bantuan kos sara hidup, penambahbaikan infra komuniti serta pembangunan surau dan masjid telah dilaksanakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
"Saya akan bergerak menyantuni masyarakat dalam DUN Larkin sama ada flat, rumah teres, rumah lot mahupun rumah-rumah kediaman mewah.
"Saya sedar dalam tempoh empat tahun dua bulan mungkin rakyat tidak dapat melihat keberadaan saya setiap masa kerana saya juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.
"Tetapi limpahan sebagai Exco Kerajaan Negeri boleh kita lihat sedikit demi sedikit dari segi kebajikan, kos sara hidup, medan niaga, tambah baik surau dan masjid," katanya kepada Astro AWANI.
Hairi berkata, beliau juga akan mengedarkan laporan prestasi kepada penduduk bagi membolehkan rakyat menilai sendiri hasil kerja yang telah dilaksanakan sepanjang penggal lalu.
Menurutnya, terdapat beberapa projek yang sedang dirancang dan disusun yang memerlukan kesinambungan kepimpinan bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan.
"Saya akan edarkan laporan kerja saya sepanjang empat tahun dua bulan kepada warga DUN Larkin.
"Insya-Allah banyak lagi projek-projek yang sedang dan telah disusun oleh saya. Sayangnya kalau tidak memilih saya kerana kebimbangan saya Larkin akan ketinggalan," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya berhati-hati dengan penyebaran fitnah serta maklumat yang tidak tepat sepanjang kempen pilihan raya, termasuk kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
DUN Larkin merupakan antara kerusi bandar penting di Johor Bahru di bawah Parlimen Pulai dengan 76,662 pengundi berdaftar. Kawasan itu mempunyai komposisi pengundi kira-kira 63.6 peratus Melayu, 26.7 peratus Cina dan 6.6 peratus India.
Kerusi berkenaan turut merangkumi kawasan seperti Bandar Baru UDA, Kampung Melayu Majidee, Larkin Jaya, Taman Century, Taman Abad, Kebun Teh dan Stulang Baru.
Pada PRN Johor 2022, Hairi merampas semula Larkin untuk BN selepas memperoleh 16,053 undi dengan majoriti 6,178 undi. Sebelum itu, kerusi tersebut dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Bagi PRN Johor kali ini, Hairi berdepan saingan tiga penjuru menentang Ahli Parlimen Pulai merangkap bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat dari PH, serta calon Parti Bersama Malaysia, Norsinah Abu. Pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai manakala hari pengundian pada 11 Julai.