Skip to main content

Malaysia

Polis KL tekankan pembanterasan buli, gengsterisme sejak sekolah rendah

KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadil (foto) berkata walaupun pelbagai kesalahan disiplin direkodkan membabitkan murid sekolah rendah, isu buli dan gengsterisme perlu diberi perhatian segera sebelum menjadi lebih serius. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras gejala buli dan mengekang pengaruh gengsterisme dalam kalangan murid perlu dimulakan seawal peringkat sekolah rendah melalui pendekatan pembentukan sahsiah serta disiplin, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata walaupun pelbagai kesalahan disiplin direkodkan membabitkan murid sekolah rendah, isu buli dan gengsterisme perlu diberi perhatian segera sebelum menjadi lebih serius.

“Ada… memang ada (isu disiplin sekolah rendah). Kita (pihak polis) tidak nafikan ada banyak kesalahan direkodkan melibatkan sekolah rendah tetapi yang ini (buli dan gangsterisme) menjadi keutamaan kita,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Murid Berpisah Tiada: Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin di Sekolah Kebangsaan La Salle 2 Jinjang, di sini hari ini.

Fadil berkata pihaknya juga tidak akan membenarkan sebarang unsur gengsterisme menghampiri institusi pendidikan.

Beliau berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mengukuhkan hubungan polis dengan warga sekolah dalam usaha membentuk murid yang berdisiplin serta berjati diri.

Menurutnya, program berkenaan yang sebelum ini memfokuskan kepada pelajar sekolah menengah kini diperluas kepada sekolah rendah.

“Program secara berterusan ini menyasarkan semua sekolah dan melibatkan semua pegawai perhubungan sekolah secara aktif serta komunikasi dua hala berterusan antara pihak pendidikan dengan polis,” katanya.

Terdahulu, berucap pada program berkenaan, Fadil berkata pembentukan generasi masa depan bukan sekadar tanggungjawab pihak sekolah sebaliknya menuntut kerjasama erat daripada ibu bapa, masyarakat dan pihak polis.

Mengenai penyalahgunaan media sosial termasuk kandungan melibatkan rokok dan vape yang menyasarkan pelajar, Fadil mengakui perkara itu berlaku dan memberi jaminan polis akan mengambil tindakan.

“Perkara sebegini memang berlaku. Pihak di luar sana akan cuba menggunakan apa sahaja kaedah terutamanya untuk menarik perhatian prospek baharu. Kita akan perangi habis-habisan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement