Skip to main content

Politik

PRN Johor: 'Jika ada sokongan tambahan kepada BN, lebih baik' - Zahid ulas kenyataan Hadi

[TB]_PRN Johor, Zahid Hamidi_Astro AWANI
Zahid menyifatkan kenyataan pemimpin Pas itu adalah perkembangan positif untuk BN, namun segalanya akan bergantung kepada keputusan peti undi pada 11 Julai ini. - Gambar/ Astro AWANI

PENGERANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang pertambahan sokongan termasuk daripada Pas kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah sesuatu yang dialu-alukan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa undi penyokong parti itu boleh diberikan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Zahid bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak mahu mencampuri pendekatan parti berkenaan.

“Itu adalah pendekatan mereka. Kita bergerak secara profesional. Kita memberikan tumpuan kepada calon-calon kita dan tentunya jika ada sokongan tambahan, itu adalah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih KEJORA di Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Bandar Penawar, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, keputusan sebenar hanya dapat diketahui apabila proses pengundian selesai pada 11 Julai ini.

“Kita mahu melihat pencapaiannya pada 11 Julai nanti, (melalui) peti-peti undi itu adalah bukti nyata sama ada apa yang mereka telah katakan itu benar atau sebaliknya,” ujarnya.

Pada Rabu, Pas menafikan wujud rundingan dengan BN bagi memenangkan calon parti itu pada PRN Johor kali ini, walaupun menyeru penyokong PN mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan berkenaan.

Naib Presiden Pas yang juga Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggapan kononnya Pas dan BN kini bekerjasama hanyalah persepsi dan andaian pihak luar.

Must Watch Video

Advertisement