Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Haaland ancaman terbesar England menjelang suku akhir

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 16 - Brazil v Norway - New York New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - July 5, 2026 Norway's Erling Haaland celebrates scoring their first goal IMAGN IMAGES via Reuters/Vincent Carchietta
Penyerang Norway, Erling Haaland yang dianggap antara penyerang paling digeruni di dunia, menjadi halangan utama England untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia. - Gambar Reuters

KANSAS CITY: Penyerang Norway, Erling Haaland yang dianggap antara penyerang paling digeruni di dunia, menjadi halangan utama England untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia, namun skuad kendalian Thomas Tuchel mempunyai kelebihan kerana ramai pemain mereka cukup mengenali corak permainan bintang Manchester City itu.

Haaland yang produktif telah mengganas benteng pertahanan Liga Perdana Inggeris sejak empat tahun lalu bersama Manchester City, dengan menjaringkan gol pada kadar yang mengagumkan dan menjadi lawan yang cukup dikenali kebanyakan pemain England.

Pada usia 25 tahun, gabungan kekuatan fizikal, kepantasan dan ketajaman penyudah dimiliki Haaland menjadikannya ancaman besar. Dengan tujuh gol sudah dijaringkannya dalam kejohanan kali ini, England sedar sebarang ruang yang diberikan kepada penyerang itu di Miami pada Sabtu boleh membawa padah.

Ditanya mengenai cara untuk mengekang Haaland, pemain tengah England, Morgan Rogers hanya mampu ketawa.

“Adakah sesiapa pernah benar-benar berjaya menghentikan Erling Haaland? Saya tidak pasti ada, tetapi kami akan cuba,” katanya kepada wartawan pada Rabu.

“Dia pemain yang luar biasa. Apa yang dilakukannya dan statistik yang dicatatkan sudah cukup membuktikan kualitinya. Mungkin kami perlu cuba menyekat aliran bola kepadanya dan menghalang dia daripada mendapatkan peluang kerana dia sangat berbahaya di hadapan gol,” katanya.

Rogers berkata, Aston Villa berjaya memastikan Haaland tidak menjaringkan gol dalam empat kunjungan terakhir Manchester City ke Villa Park, namun pemain berusia 23 tahun itu mengakui faktor nasib turut memainkan peranan.

Pada masa sama, beliau menegaskan England tidak boleh memandang rendah pemain Norway lain yang beraksi di England, termasuk kapten Arsenal, Martin Odegaard, yang turut mampu mencipta ancaman.

England hadir ke suku akhir dengan keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mexico meskipun beraksi dengan 10 pemain pada pusingan 16 terbaik, dalam salah satu persembahan paling dikenang skuad itu di pentas Piala Dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Skuad keletihan selepas kemenangan dramatik

Rogers berkata pasukan kembali ke kem latihan mereka di Kansas City pada awal pagi Isnin selepas perlawanan menentang Mexico yang menguji ketahanan fizikal dan mental pemain.

“Itulah mesej yang disampaikan dalam sesi latihan pertama kami hari ini. Kami mahu terus mara, terus mencipta lebih banyak kejayaan dan masih ada ruang untuk kami memperbaiki prestasi,” katanya.

“Bagi ramai antara kami, ini mungkin perlawanan terbesar yang pernah kami harungi, lebih-lebih lagi dalam suasi kejohanan Piala Dunia dan dengan segala cabaran yang ada.”

Rogers turut menyatakan kegembiraan skuad itu menyambut kepulangan pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson, ke kem latihan selepas menjalani pembedahan pada kecederaan tangan yang dialaminya ketika meraikan kemenangan di Mexico City.

“Itu menggambarkan siapa dirinya yang sebenar. Melihat dia pagi ini masih tersenyum dan ceria seperti biasa walaupun apa yang berlaku dalam tempoh 48 jam lalu benar-benar memberi semangat kepada kami.

“Dia ibarat nadi kepada pasukan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, satu tradisi baharu semakin mendapat tempat dalam kalangan penyokong England di Piala Dunia apabila pemain dan penyokong sama-sama menyanyikan lagu ikonik Oasis, Wonderwall, selepas setiap perlawanan.

Apabila ditanya sama ada beliau menghafal lirik lagu tersebut, Rogers sekali lagi ketawa.

“Saya rasa anda bukan orang England jika tidak tahu liriknya. Lagu itu terlalu terkenal, semua orang mesti tahu liriknya.

“Kalau belum tahu, lebih baik belajar dengan cepat,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement