PHILADELPHIA: Kapten Perancis, Kylian Mbappe dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah apabila bakal membuat penampilan ke-100 antarabangsa ketika menentang Iraq dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026, awal pagi esok.
Penyerang berusia 27 tahun itu menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sangat bermakna, lebih-lebih lagi kerana ia dicapai di pentas terbesar bola sepak dunia.
“Seratus penampilan adalah satu angka bersejarah dan untuk mencapainya di Piala Dunia menjadikannya lebih istimewa,” katanya menjelang perlawanan di Philadelphia.
Mbappe sebelum ini turut mencatat satu lagi rekod peribadi apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis selepas menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan kumpulan.
Dengan pencapaian tersebut, beliau mengatasi rekod lama Olivier Giroud, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling berpengaruh di pentas antarabangsa.
Dalam konteks kejohanan, Mbappe juga berada di landasan untuk terus mencabar rekod jaringan Piala Dunia, dengan 14 gol daripada 15 penampilan setakat ini.
Bagaimanapun, pemain Real Madrid itu menegaskan keutamaan utama tetap kepada kejayaan pasukan, dengan Perancis menyasarkan kemenangan ke atas Iraq bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Perlawanan menentang Iraq dilihat sebagai ujian penting buat Les Bleus yang kini memburu kemenangan kedua dalam saingan kumpulan, selepas membuka kempen dengan kemenangan ke atas Senegal.
Sekiranya diturunkan, Mbappe akan menjadi pemain ke-10 Perancis yang mencapai 100 penampilan antarabangsa, sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam karier gemilangnya. - Agensi