Skip to main content

Dunia

Malaysia-Bangladesh sasar kerjasama lebih komprehensif melalui MoU, FTA - PM

PUTRAJAYA, June 22 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (right) welcomes Bangladesh Prime Minister Tarique Rahman at Perdana Putra today.  Tarique is on a two-day official visit to Malaysia.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar bergambar dengan Tarique di Perdana Putra, Putrajaya, pada Isnin. - Gambar/ Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih komprehensif melalui pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan usaha mempercepatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin berkata, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara adalah sangat akrab, memandangkan Malaysia merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama selepas majlis menandatangani MoU dan pertukaran nota kerjasama dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh, Tarique Rahman, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

"Kita perlu meningkatkan hubungan dua hala dan saya telah membincangkan perkara ini dengan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyahut cabaran memperkukuh hubungan ini melalui FTA secara pantas (fast-track).

"Kerjasama ini tidak terhad kepada perdagangan dan pelaburan sahaja, malah akan diperluas kepada penyelidikan sains baharu, teknologi, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) yang merupakan cabaran masa depan buat rakyat kita," katanya.

Anwar berkata walaupun perdagangan antara kedua-dua negara pada masa ini dianggap sederhana, Bangladesh merupakan negara besar dengan potensi ekonomi yang sangat luas.

Selain sektor tradisional seperti pertanian, Malaysia berminat untuk meneroka bidang ekonomi digital, tenaga dan pembuatan maju bersama negara Asia Selatan itu.

Menyentuh mengenai isu kerjasama tenaga kerja, Perdana Menteri menegaskan bahawa sumbangan pekerja Bangladesh adalah kritikal bagi kelangsungan ekonomi Malaysia, namun isu kebajikan mereka tetap menjadi keutamaan.

"Isu tenaga kerja ini sering mengundang skandal dan kebimbangan, terutamanya melibatkan isu kemanusiaan dan rawatan. Saya menghargai kejujuran dan komitmen beliau (Tarique) untuk berkongsi azam dalam memastikan proses pengambilan pekerja lebih telus dan adil.

"Amalan mengeksploitasi dan melayan pekerja dengan buruk demi keuntungan syarikat semata-mata tidak boleh ditoleransi. Kita mesti mengambil langkah menerajui usaha menghentikan segala penyimpangan ini bagi melindungi kepentingan pekerja dan keluarga mereka," tegas beliau.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama strategik dalam sektor tenaga melibatkan Petronas dan Petrobangla bagi pembekalan Gas Asli Cecair (LNG), selain industri halal, pendidikan serta pelancongan.

Tarique dalam lawatan dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra pagi ini.

Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut ketibaan Tarique pada jam 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Must Watch Video

Advertisement