Skip to main content

Teknologi

ASML nafi dakwaan eksport teknologi ke China

FILE PHOTO: A logo on ASML offices on the day workers participate in a walk-out over the company's plans to cut its workforce, in Veldhoven, Netherlands, March 24, 2026. REUTERS/Nicolas Economou/File Photo
Penafian itu dibuat susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick, kepada pengurusan ASML berhubung kemungkinan peralatan canggih itu memasuki pasaran China, sekali gus melanggar sekatan eksport teknologi sedia ada. -Gambar fail/Reuters

AMSTERDAM: Syarikat peralatan semikonduktor dari Belanda, ASML Holding NV (ASML), menafikan dakwaan bahawa ia telah menghantar mesin litografi ultraungu ekstrem (EUV) ke China, lapor Amanz.

Penafian itu dibuat susulan kebimbangan dibangkitkan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick, kepada pengurusan ASML berhubung kemungkinan peralatan canggih itu memasuki pasaran China, sekali gus melanggar sekatan eksport teknologi sedia ada.

ASML dalam satu kenyataan berkata syarikat itu tidak pernah menghantar mesin EUV atau sebarang komponen berkaitan ke negara berkenaan.

“ASML tidak pernah menghantar mesin EUV ke China, mahupun sebarang komponen, modul atau peralatan yang direka khusus untuk kegunaan mesin EUV ke negara tersebut,” menurut kenyataan syarikat itu yang dipetik media antarabangsa.

Isu itu timbul ketika laporan menyebut China giat membangunkan teknologi cip tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi Barat.

Penganalisis industri berpandangan peralatan yang dikesan oleh pihak AS berkemungkinan merupakan prototaip yang dibangunkan di makmal penyelidikan tempatan China, dan bukannya unit asli keluaran ASML.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Belanda berkata semua eksport peralatan semikonduktor tertakluk kepada syarat pelesenan yang ketat serta pemantauan rapi bagi memastikan pematuhan kepada peraturan Kesatuan Eropah.

Mesin EUV merupakan teknologi kritikal dalam penghasilan cip termaju bersaiz 3 nanometer dan ke bawah, sekali gus menjadi antara fokus utama dalam persaingan teknologi global.

 

Must Watch Video

Advertisement