CHERAS: Terminal pengangkutan awam dan bangunan tumpuan orang ramai akan dijadikan lokasi utama penempatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan urusan pelanggan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemilihan lokasi di hab pengangkutan awam yang strategik akan memudahkan akses pengguna.
Katanya, ia juga memberi nilai tambah kepada pengalaman pelanggan apabila mereka boleh melakukan pelbagai urusan lain di kawasan sama, dengan ruang menunggu lebih selesa tanpa perlu beratur lama.
“Ini memang merupakan pendekatan baharu kita untuk membuka pejabat cawangan JPJ di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai untuk memudahkan pelanggan dan pengguna. Dari segi aksesibiliti, tempat ini sangat strategik kerana boleh diakses melalui pengangkutan awam dan mempunyai ruang komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dan Ahli Parlimen bagi kawasan Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Jelasnya pembukaan pejabat JPJ berkonsep moden di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras yang merupakan cawangan ketiga selepas Putrajaya dan Nilai, mengubah kaedah penyampaian perkhidmatan agensi berkenaan kepada orang ramai.
Anthony berkata, konsep baharu itu turut meningkatkan pengalaman pengguna kerana masa menunggu tidak lagi dianggap membuang masa, sebaliknya boleh dimanfaatkan dengan aktiviti lain di dalam terminal berkenaan.
Beliau menambah, pemindahan operasi dari Bandar Tasik Permaisuri ke TBS juga membantu mengurangkan kesesakan di lokasi lama yang sebelum ini menghadapi masalah parkir dan aliran trafik.
“Apabila dipindahkan, bukan sahaja memberi keselesaan kepada orang ramai, malah membantu menyuraikan sedikit trafik di kawasan lama,” katanya.
Menurutnya lagi, JPJ Cawangan TBS akan memperkenalkan model operasi metropolitan yang menawarkan perkhidmatan sehingga jam 10 malam serta beroperasi tujuh hari seminggu.
Ia menjadi antara pejabat JPJ pertama yang menggunakan model operasi extended hours secara berterusan.
Beliau berkata, pendekatan ini memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk berurusan mengikut kesesuaian masa mereka tanpa perlu mengorbankan komitmen pekerjaan atau keluarga.
“Operasi tujuh hari seminggu dan berkonsepkan shift akan memudahkan orang ramai, termasuk yang bekerja, untuk berurusan pada bila-bila masa,” katanya.
Anthony berkata, pendekatan itu dijangka mampu menampung sehingga lebih 1,000 pelanggan sehari serta membantu mengurangkan kesesakan di cawangan JPJ lain.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan teknologi termasuk AI akan terus diperkukuh dalam sistem perkhidmatan JPJ dan pengurusan di terminal tersebut bagi meningkatkan kecekapan serta kemudahan pengguna.
“Ini adalah transformasi perkhidmatan front line kita, dan kita akan terus perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.