Skip to main content

Malaysia

Tarikh akhir inkues Zara Qairina sehingga 23 Okt - Koroner

41760519181_LBINKUESZARA.jpg
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya, kira-kira 4 pagi. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 23 Okt depan sebagai tarikh akhir pendengaran inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, selepas mendapati prosiding tersebut sudah berlangsung selama 74 hari.

Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata mahkamah perlu memantau kemajuan inkues tersebut, dengan mengambil kira bahawa Julai merupakan ulang tahun pertama kematian Zara Qairina, manakala September menandakan setahun sejak inkues bermula.

Beliau berkata mahkamah akan meneruskan tarikh yang telah ditetapkan sehingga Oktober, sambil menambah bahawa inkues tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan.

Terdahulu, mahkamah melahirkan rasa kecewa selepas dimaklumkan tiada saksi hadir untuk prosiding hari ini akibat salah faham antara pihak-pihak berkaitan mengenai saksi yang dijadualkan memberi keterangan.

“Saya sangat kecewa kerana tiada saksi untuk hari ini, walaupun kita tahu arahannya,” kata beliau.

Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, memaklumkan mahkamah bahawa difahamkan prosiding hari ini sepatutnya diteruskan dengan keterangan kakak tiri Zara Qairina, manakala saksi pakar pertama bulan ini hanya akan hadir esok.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa beberapa saksi pakar masih mungkin dipanggil, termasuk pakar tulisan tangan Dr Linthini Gannetion, ahli psikologi kanak-kanak Dr Aishah Rosli, pakar psikiatri Dr Simon Wong, serta seorang pakar patologi.

Pegawai pengendali prosiding, Mohd Fairus Johari, yang juga Timbalan Pendakwa Raya (DPP), memaklumkan mahkamah bahawa pasukan itu telah menyediakan lebih 200 soalan tambahan untuk pakar tulisan tangan tersebut.

Mahkamah turut mendengar hujahan daripada peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang remaja dalam kes buli Zara Qairina, bahawa ibu Zara Qairina dan kakak tirinya perlu dipanggil memberi keterangan demi kepentingan inkues.

Namun, Amir Shah berkata bahawa arahan semasa adalah tidak perlu memanggil kakak tiri pada peringkat ini kecuali ibu Zara Qairina memberi keterangan kerana bukti tertumpu kepada pihak ibu.

Shahlan berhujah bahawa sekiranya mahkamah membenarkan kakak tiri dipanggil, keterangannya perlu didengar sebelum keterangan ibu dan bapa Zara Qairina.

Mohd Fairus kemudian memaklumkan mahkamah bahawa Peguam Negara telah mengarahkan agar kakak tiri itu dipanggil, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan mahu perkara tersebut direkodkan sekiranya ia dibangkitkan pada peringkat rayuan.

Koroner kemudian mengarahkan supaya pernyataan saksi kakak tiri Zara Qairina disediakan dan diserahkan kepada semua pihak dalam minggu ini, sebelum mahkamah membuat keputusan pada sesi akan datang sama ada beliau perlu dipanggil, dan inkues akan disambung semula esok.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya, kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement