Skip to main content

Malaysia

KESUMA komited perkukuh tadbir urus pengambilan pekerja Bangladesh - Ramanan

Putrajaya | 22 Jun 2026 Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengalu-alukan hasil pertemuan dua hala antara YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang memberi penekanan khusus kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga kerja antara kedua-dua negara.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata ia selaras dengan komitmen Malaysia dan Bangladesh untuk memastikan proses pengambilan pekerja bebas daripada eksploitasi, diskriminasi dan amalan tidak beretika. - Foto Facebook R. Ramanan

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing bagi memastikan proses pengambilan tenaga kerja dari Bangladesh dilaksanakan secara telus, adil dan beretika.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata ia selaras dengan komitmen Malaysia dan Bangladesh untuk memastikan proses pengambilan pekerja bebas daripada eksploitasi, diskriminasi dan amalan tidak beretika.

Beliau berkata perkara itu amat penting memandangkan Bangladesh antara negara sumber utama pekerja asing di Malaysia dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, aspek tadbir urus, kebajikan pekerja dan mekanisme pengambilan yang beretika perlu terus diperkasa demi kepentingan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook hari ini.

Ramanan berkata kerjasama dalam bidang pengurusan sumber manusia dengan Bangladesh bukan sahaja dapat menjamin kebajikan, keselamatan dan hak pekerja, malah membantu memenuhi keperluan tenaga kerja negara secara mampan dan bertanggungjawab.

“KESUMA akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing serta memperluaskan kerjasama strategik dengan negara-negara rakan termasuk Bangladesh demi manfaat bersama,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Bangladesh Tarique Rahman, ketika mengadakan pertemuan dua hala bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) bagi memastikan penghijrahan pekerja negara itu ke Malaysia dapat diteruskan secara selamat serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

JWG akan memberi tumpuan kepada penilaian memorandum persefahaman (MoU) sedia ada serta meletakkan asas bagi penggubalan MoU baharu yang dikemas kini mengikut keperluan semasa kedua-dua negara.

Tarique mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar, yang juga lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari lepas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement