KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja yang diselamatkan menunjukkan angka lebih rendah berbanding 2023, mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan dan usaha pencegahan yang dilaksanakan kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata data Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) merekodkan pada 2023 sahaja sebanyak 70 mangsa telah diselamatkan dan angka itu turun kepada 10 orang pada 2024, sebelum meningkat kepada 17 orang pada 2025 dan hanya empat orang setakat Mei tahun ini.
“Kita boleh berpuas hati sedikit kerana kes yang dilaporkan makin berkurangan, tetapi mungkin ada perkara-perkara yang kita tidak nampak (tidak dilaporkan), jadi kita tidak boleh ambil mudah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Khairul Firdaus berkata demikian selepas merasmikan penutup Seminar Sinergi Nasional Mencegah dan Membasmi Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pekerja Zon Tengah 2026 di sini.
Beliau berkata sejak Januari hingga Mei lepas, sebanyak 386 operasi penguatkuasaan berkaitan buruh telah dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 311 kertas siasatan telah dibuka.
Khairul Firdaus berkata kerajaan komited melaksanakan agenda pembanterasan buruh paksa selaras dengan protokol yang diratifikasi di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Mengenai Seminar Sinergi Nasional Mencegah dan Membasmi Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pekerja, beliau berkata ia merupakan siri jelajah kesedaran nasional yang dilaksanakan JTKSM bagi memberi pendedahan, pendidikan dan penerangan berhubung pemerdagangan orang serta eksploitasi pekerja.
Beliau berkata program Zon Tengah itu menyusuli penganjuran seminar di Zon Utara di Sungai Petani, Kedah pada 18 Mei lepas dan Zon Selatan di Kluang, Johor pada 8 Jun.
“Secara keseluruhan, hampir 1,000 peserta telah menyertai seminar ini bagi berkongsi pandangan, cadangan dan bersama-sama memastikan isu ini dapat dinoktahkan secepat mungkin,” katanya.
-- BERNAMA