Skip to main content

Teknologi

Pasaran jam tangan pintar global naik 4% pada suku pertama 2026

Sumber: AMANZ
Pertumbuhan positif itu dipacu oleh permintaan yang berterusan terhadap produk Apple di peringkat global serta pemulihan pasaran yang semakin rancak di China. -Foto Amanz

PENGHANTARAN jam tangan pintar global mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus bagi suku pertama tahun 2026 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Amanz yang memetik laporan firma penyelidikan pasaran Counterpoint Research.

Pertumbuhan positif itu dipacu oleh permintaan yang berterusan terhadap produk Apple di peringkat global serta pemulihan pasaran yang semakin rancak di China.

Ia sekali gus menyaksikan purata harga jualan (ASP) meningkat enam peratus berikutan kecenderungan pengguna memilih model premium yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sensor kesihatan canggih.

Apple kekal sebagai peneraju pasaran dengan pegangan sebanyak 23 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan penghantaran 21 peratus, iaitu tertinggi dalam kalangan jenama utama.

Sementara itu, syarikat teknologi China, Huawei, berada di kedudukan kedua dengan pegangan pasaran global sebanyak 17 peratus, selepas merekodkan pertumbuhan 12 peratus yang didorong oleh penguasaan hampir 40 peratus pasaran domestik di China hasil daripada ekosistem produk yang kukuh serta subsidi kerajaan.

Turut mencatatkan peningkatan ialah Xiaomi yang meraih 10 peratus pegangan pasaran menerusi pertumbuhan sembilan peratus, manakala jenama Imoo mencatatkan peningkatan dua peratus dengan pegangan pasaran sebanyak tujuh peratus bagi suku berkenaan.

Bagaimanapun, gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung, berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kedudukannya apabila mengalami penurunan ketara sebanyak 28 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Pasaran jam tangan pintar global kini dilaporkan kembali pulih sepenuhnya selepas mengalami fasa penurunan pada tahun 2024, dengan ciri-ciri inovasi baharu seperti sokongan satelit dan fungsi pemantauan kesihatan termaju menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan semasa industri.

Must Watch Video

Advertisement