Skip to main content

Malaysia

60,000 pengunjung dijangka serbu Baling sempena Escapade Festival 2026

Baling Escapade Festival 2026 (BEF 2026)... kredit Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd
Daerah Baling dijangka menjadi tumpuan pelancongan apabila Baling Escapade Festival (BEF) 2026 berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos depan, dengan sasaran menarik lebih 60,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

BALING: Daerah Baling dijangka menjadi tumpuan pelancongan apabila Baling Escapade Festival (BEF) 2026 berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos depan, dengan sasaran menarik lebih 60,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Festival bertemakan “Escape. Explore. Experience Baling” itu dianjurkan oleh Raydiates Blue Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.

BEF 2026 dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan luar bandar, sekali gus memperkenalkan Baling sebagai destinasi yang menawarkan gabungan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman pelancongan unik.

Terkenal dengan keindahan Gunung Baling dan Gunung Pulai, selain sungai semula jadi serta kawasan rekreasi, daerah ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Sepanjang empat hari penganjuran, festival ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti berasaskan budaya, gastronomi, gaya hidup, pelancongan komuniti serta sukan pengembaraan.

Antara tarikan utama ialah The Cultural Jam @ Baling yang mengetengahkan kepelbagaian seni, muzik, persembahan tradisional, kraftangan serta budaya masyarakat tempatan dan Nusantara.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman gastronomi menerusi Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta yang menghimpunkan lebih 100 gerai makanan, minuman dan produk gaya hidup daripada usahawan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Festival ini juga dikuatkan dengan kolaborasi strategik bersama acara larian denai ultra, The Magnificent Baling 100 (TMB100), yang dijangka menarik lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Kehadiran peserta TMB100 bersama pengunjung festival dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan di sekitar Baling.

Penganjur turut menyasarkan BEF 2026 mampu menjana impak ekonomi melebihi RM5 juta menerusi perbelanjaan pelawat dan aktiviti komersial sepanjang festival berlangsung.

Dalam masa sama, festival ini membuka peluang kepada usahawan, penggiat seni budaya, komuniti belia dan pemain industri pelancongan untuk memperluas rangkaian serta meningkatkan keterlihatan melalui platform berskala besar.

Menurut Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, festival berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu usaha berterusan dalam membangunkan Baling sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Pihak penganjur kini membuka penyertaan kepada vendor, pempamer, penaja korporat serta rakan strategik untuk bersama menjayakan BEF 2026.

Dengan gabungan elemen budaya, gastronomi dan sukan pengembaraan, festival ini dijangka menjadi antara acara pelancongan paling komprehensif di Kedah serta mampu mengangkat nama Baling di peringkat nasional dan antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement