TORONTO: Sebuah struktur menyerupai kedai serbaneka dikesan terapung di Tasik Ontario, di sini, sekali gus menarik perhatian pengunjung.
Bagaimanapun, struktur itu bukan premis perniagaan sebenar, sebaliknya sebahagian daripada pameran seni awam interaktif.
Replika bersaiz penuh yang dinamakan “Global Convenience” itu ditempatkan di kawasan perairan Harbour Square Park Basin.
Ia dipenuhi pelbagai barangan keperluan harian seperti makanan ringan, mi segera, dan bijirin sarapan.
Namun, 'premis' ini tidak dibuka untuk urusan jual beli.
Karya seni itu dihasilkan oleh pengukir Trevor Wheatley dan Cosmo Dean dengan kerjasama studio rekaan Puncture serta dikuasakan tenaga solar.
Penganjur, Waterfront Toronto, berkata konsep kedai runcit dipilih kerana mudah dikenali masyarakat global dan menjadi simbol kepada migrasi serta penyatuan komuniti.
“Konsep ini mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat bandar dan pengalaman harian yang dikongsi bersama,” menurut penganjur.
Arca terapung itu diperkenalkan sempena penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 dan kini menjadi tarikan dalam kalangan pelancong serta penduduk setempat.
Ia dipamerkan di bawah Program Seni Awam Terapung Tahunan Toronto sehingga Oktober ini.