KUALA LUMPUR: Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru mengamalkan politik yang lebih bertanggungjawab dan mengelak mencetuskan isu agama, raja dan kaum (3R).
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata, mereka perlu memberi tumpuan kepada idea, dasar dan manifesto yang ingin dibawa kepada rakyat sepanjang tempoh kempen.
Beliau berkata pendekatan berasaskan dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat lebih wajar diketengahkan berbanding menyerang parti lawan.
“Rakyat kini semakin celik politik. Jadi, parti-parti perlu menampilkan idea yang ingin dibawa, perubahan yang mahu dilaksanakan, dasar yang ingin diperkenalkan serta idea yang ‘local based’,” katanya ketika ditemui Astro AWANI dalam Majlis Hi-Tea bersama Media anjuran pejabat beliau di ibu negara hari ini.
Menurut beliau, PRN Johor merupakan antara pilihan raya negeri yang penting kerana melibatkan penyertaan banyak parti politik, termasuk parti baharu.
Penyertaan pelbagai parti itu, katanya, akan mewujudkan persaingan yang menonjolkan calon, ideologi dan pendekatan politik masing-masing kepada rakyat.
“Saranan saya dan pesanan saya kepada semua parti politik, termasuklah Pakatan Harapan sendiri, biar kita mengamalkan politik yang lebih bertanggungjawab,” tambah beliau.
Awal bulan ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 1 Jun.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon, 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.