Skip to main content

Politik

PRN Johor: Maszlee, dua Ahli Parlimen antara 56 calon diumum PH

MUAR, 22 Jun -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merangkap Pengerusi Paakatan Harapan (PH) bergambar bersama calon-calon PH pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.  Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Datuk Seri Mohamad Sabu merangkap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke merangkap Setiausaha Agung DAP.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merangkap Pengerusi Paakatan Harapan (PH) bergambar bersama calon-calon PH pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini. - Foto BERNAMA

TANGKAK: Pakatan Harapan (PH) tampil dengan strategi lebih berani apabila mengumumkan barisan calon pelbagai latar belakang termasuk bekas menteri, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dua Ahli Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kesemua 56 calon yang diketengahkan bukan sahaja berpengalaman dalam pentadbiran, malah merupakan anak Johor yang memahami denyut nadi rakyat serta isu setempat.

Beliau berkata, pemilihan calon dibuat secara teliti daripada ramai individu yang layak bagi memastikan PH menampilkan pasukan terbaik untuk berdepan pilihan raya itu.

“Calon-calon yang kita kemukakan ini diminta bekerja tungkus-lumus. Yang layak bukan 56 orang sahaja, yang layak mungkin 1,000 orang, tetapi yang dipilih hanya 56.

“Saya minta semua mulai malam ini bekerja kuat untuk memenangkan calon-calon Pakatan Harapan,” katanya ketika mengumumkan senarai calon PH bagi PRN Johor, malam ini.

Antara tumpuan utama ialah bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, yang kembali menjadi taruhan PKR di kerusi Puteri Wangsa, sekali gus dilihat sebagai antara nama besar dalam senarai calon kali ini.

Turut mencuri perhatian ialah Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor, apabila dicalonkan untuk bertanding di kerusi Larkin mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Pencalonan kedua-dua tokoh itu menjadikan PH antara gabungan yang menampilkan Ahli Parlimen untuk bertanding di peringkat DUN sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kekuatan jentera parti di Johor.

Selain itu, dua bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor ketika era pentadbiran PH, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Dzulkefly Ahmad, masing-masing kembali mempertahankan kerusi Semerah dan Kota Iskandar yang pernah ditandingi sebelum ini.

Tidak ketinggalan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad, turut diberikan kepercayaan untuk bertanding di kerusi Kempas sebagai usaha memberi ruang lebih besar kepada pemimpin muda dalam barisan calon parti.

Menurut Anwar, gabungan calon berpengalaman dan muka baharu itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan PH dalam usaha mempertahankan serta merampas beberapa kerusi penting pada PRN Johor kali ini.

Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.

Must Watch Video

Advertisement