Skip to main content

Malaysia

Malaysia lantik wakil tetap ke PBB baharu di New York, Geneva

PUTRAJAYA, 22 Julai -- Rakaman gambar logo Wisma Putra ketika tinjauan selepas Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa Pelajar Bangladesh Malaysia untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Bangladesh, di Wisma Putra, hari ini.  Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  --foto
Instrumen pelantikan itu disampaikan di Kementerian Luar, yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, di Putrajaya. - Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyampaikan surat cara pelantikan kepada Datuk Nadzirah Osman dan Datuk Zanariah Zainal Abidin sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masing-masing di New York dan Geneva.

Instrumen pelantikan itu disampaikan di Kementerian Luar, yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, di Putrajaya.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Nadzirah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994. Sebelum pelantikan ini, beliau telah berkhidmat sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak 2023.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Belanda selain pernah berkhidmat di misi diplomatik Malaysia di Mexico City dan London.

Dalam kementerian, Nadzirah sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Alam Sekitar Pelbagai Hala.

Beliau turut berkhidmat di Bahagian Eropah Timur dan Bahagian Amerika.

Sementara itu, Zanariah memiliki Ijazah Sarjana dalam Dasar Awam daripada Graduate School of International Politics, Jepun, serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Aberystwyth University, Wales, United Kingdom.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1995. Sebelum pelantikan ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar Negeri sejak 2021.

Zanariah pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta selain berkhidmat di misi diplomatik Malaysia di Caracas, Venezuela dan Santiago, Chile.

Di kementerian itu, beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala dan Pengarah di Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim, serta Bahagian Ekonomi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement