Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Iran ikat Belgium dengan keputusan seri tanpa jaringan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group G - Belgium v Iran - Los Angeles Stadium, Inglewood, California, U.S. - June 21, 2026 Belgium's Thibaut Courtois in action as he makes a save from Iran's Mehdi Taremi REUTERS/Matthew Childs
Iran kekal di tangga teratas Kumpulan G selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Belgium dalam aksi Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Los Angeles pada Ahad. - Gambar Reuters

ISTANBUL: Iran kekal di tangga teratas Kumpulan G selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Belgium dalam aksi Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Los Angeles pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Belgium menguasai permainan dan melakukan 11 percubaan pada separuh masa pertama, namun Iran hampir mendahului menerusi jaringan yang dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-25.

Aksi pada separuh masa kedua berlangsung seimbang apabila Iran cuba meningkatkan penguasaan permainan, manakala Belgium terus menguji benteng pertahanan lawan tetapi gagal menemui sentuhan penyudah.

Kesilapan hantaran ke belakang Belgium pada minit ke-66 hampir mengundang padah apabila Mehdi Taremi berjaya menguasai bola sebelum dikasari oleh Nathan Ngoy.

Tindakan itu menyebabkan Ngoy dilayangkan kad merah dan Belgium terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Kad merah itu merupakan yang kelapan dalam kejohanan kali ini, sekali gus menggandakan jumlah kad merah yang direkodkan sepanjang Piala Dunia Qatar 2022.

Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, Belgium yang dikenali sebagai Red Devils terus melancarkan serangan dan mencipta 11 lagi percubaan pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, pertahanan Iran kekal kental manakala penjaga gol Alireza Beiranvand cemerlang menafikan beberapa peluang terbaik Belgium.

Keputusan itu meletakkan Iran di tangga teratas Kumpulan G, manakala Belgium berada di kedudukan kedua.

Kedua-dua pasukan masih berada pada landasan terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement