Skip to main content

Politik

UMNO sedia terima bekas pemimpin Bersatu dipecat, digantung sertai 'Rumah Bangsa'

KLUANG, 12 Mei -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata sebagai sebuah parti yang menjadi “rumah” kepada orang Melayu, UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama parti itu. -Foto Bernama

KLUANG: UMNO bersedia menerima mana-mana bekas ahli atau pemimpin Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin untuk menyertai perjuangan parti itu, di bawah gagasan Rumah Bangsa, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata sebagai sebuah parti yang menjadi “rumah” kepada orang Melayu, UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama parti itu.

“Kita terbuka menerima sesiapa sahaja, kerana rumah kita ‘Rumah Bangsa’, maknanya rumah itu besar untuk sesiapa sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Batu 3, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Lembaga Disiplin Bersatu yang memecat serta menggantung keahlian wakil rakyat dan pemimpin parti itu.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian empat lagi wakil rakyat dan pemimpin parti itu atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Pada Jumaat, parti itu turut mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.

Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu dengan lebih 10,000 permohonan diterima setakat ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video