NILAI: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana ia dibuat atas dasar untuk merebut kuasa.
Jelas Muhyiddin, beliau berpengalaman menguruskan Perikatan Nasional sebelum ini, justeru lebih memahami dinamika dalaman gabungan itu.
“Saya dah jangka, belum apa-apa… Siapa Hamzah Zainuddin yang nak mengatakan ‘Perikatan Barisan Nasional’, itu pun dia dah kena ‘sembelih’, BN tak setuju.
“Saya tahu, kerana saya pernah berada di situ, macam mana nak menguruskan soal Perikatan Nasional. Hari itu dikatakan ini sebagai satu gabungan, ini bukan gabungan sebenarnya
“.. kerana satu pihak keluarkan kenyataan, disanggah pula oleh pihak lain dalam susunan yang baharu. Saya buat ramalan, (gabungan) ini adalah untuk kepentingan masing-masing.
“Tetapi kepentingan itu tidak semestinya untuk tujuan yang sama. Yang pokoknya, mereka bekerjasama untuk kuasa. Ada nampak Pas bercakap tentang soal ekonomi atau sosial. Yang ada, keluar hukum hakam entah daripada mana,” soal Muhyiddin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tawaran Bersatu Demi Nismilan, di sini, pada Sabtu.
Pada Sabtu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak memainkan isu melibatkan kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen di PRN Negeri Sembilan.
Tegas Zahid, sekiranya hasrat Muhammad Sanusi adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan rakyat, perkara sedemikian tidak perlu dibangkitkan kerana hanya akan meresahkan pelbagai kelompok masyarakat.