Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Bersatu kemuka 76 tawaran, sasar 50,000 peluang pekerjaan

Muhyiddin Yassin, Bersatu, manifesto_Astro AWANI
Muhyiddin berkata, tawaran itu dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat serta bertujuan membawa perubahan kepada tadbir urus, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan pembangunan negeri.

BANDAR BARU NILAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melancarkan manifesto dikenali "Tawaran Bersatu Demi Nismilan” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Manifesto itu menggariskan 76 tawaran menerusi sembilan tunjang utama, termasuk sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun sekiranya parti itu diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat serta bertujuan membawa perubahan kepada tadbir urus, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan pembangunan negeri.

“Tawaran ini menggambarkan komitmen tidak berbelah bahagi Bersatu untuk membela nasib rakyat Negeri Sembilan dan menunjukkan bahawa kita bersedia untuk mentadbir Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Bersatu Demi Nismilan, di sini, hari ini. 

Sembilan tunjang utama itu memberi fokus kepada tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, pembangunan belia, pemerkasaan wanita, kebajikan warga FELDA serta kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin berkata, Bersatu akan memberi fokus memperkukuh ekonomi negeri menerusi pembangunan Koridor Industri Halal Negeri Sembilan, Koridor Logistik Negeri Sembilan serta industri masa hadapan seperti tenaga hijau, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI) yang melibatkan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0.

Bersatu turut berjanji menubuhkan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memberikan pengecualian sewa selama dua tahun kepada penjaja berdaftar di pasar milik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam aspek tadbir urus pula, Muhyiddin berkata Bersatu akan mewujudkan Jawatankuasa Khas yang dianggotai golongan profesional anak Negeri Sembilan bagi memantau pelaksanaan semua tawaran manifesto.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Bersatu juga akan menggubal undang-undang supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pendidikan menerusi penubuhan Nismilan EduFund bernilai RM25 juta, Dana Prihatin Pendidikan RM20 juta serta bantuan pengangkutan kepada pelajar.

Seterusnya golongan belia bakal menerima manfaat melalui penubuhan Hab Digital Nogori, dana pemula sehingga RM50,000 untuk syarikat pemula dan Skim Rider Nogori.

Dalam sektor kesejahteraan rakyat, Bersatu menawarkan penubuhan Nismilan Critical Illness Fund bernilai RM25 juta, Dana Skim Sihat Nismilan RM10 juta, Dana Rumah Rakyat Negeri Sembilan RM100 juta menerusi skim sewa untuk milik, selain bantuan kepada warga emas, ibu tunggal dan golongan memerlukan.

Tegas Muhyiddin, manifesto yang ditawarkan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya disifatkan mampu dilaksanakan sekiranya Bersatu diberikan mandat membentuk kerajaan negeri.

“Tawaran ini meliputi semua rakyat daripada kanak-kanak, pelajar, anak muda, usahawan, wanita sehinggalah ke warga emas, tiada sesiapa yang akan terpinggir.

“Berbekalkan pengalaman, kepakaran dan komitmen tinggi bakal kepimpinan Kerajaan Negeri daripada Bersatu, kami yakin semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan telus untuk manfaat seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement