Skip to main content

Malaysia

Buli: Tiga pelajar ditahan belasah rakan sekolah gara-gara 'pandang' teman wanita

Kes Berlaku Di SMK Ampang Baru ... Kes Buli.. Budak Kena Buli Kerana Pandang Girl Friend Budak Lainl!!... Dei!! Girl Friend Ko Cantik Sangat Ke?... Takut Sangat Ke Bini Ko Kena Curi? Nasib Baik Budak2' Sekolah Dari Bangsa Lain Datang Tolong Budak Yg Kena Buli Tu..Kasi Viral Sampai Budak2 Buli Kena Suspend Dari Sekolah_FB Antonio Amadeus
Kejadian itu tular selepas video berdurasi tiga minit 28 saat yang dipercayai dirakam seorang pelajar lain tersebar di media sosial sejak pagi Sabtu. -Foto Facebook Antonio Amadeus

AMPANG JAYA: Polis menahan tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Ampang Jaya kerana disyaki terbabit dalam kejadian membelasah rakan sekolah yang didakwa mengganggu teman wanita salah seorang suspek pada Jumaat lalu.

Kejadian itu tular selepas video berdurasi tiga minit 28 saat yang dipercayai dirakam seorang pelajar lain tersebar di media sosial sejak pagi Sabtu.

Dalam rakaman video berkenaan, suspek dilihat mempersoalkan tindakan mangsa yang didakwa memandang teman wanitanya, namun mangsa menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan perbuatan tersebut tidak disengajakan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.31 tengah hari Jumaat apabila mangsa yang berada di sebuah sekolah di Bandar Baru Ampang dibawa salah seorang suspek ke kawasan tangga Pangsapuri Sri Nilam di Bandar Baru Ampang.

"Setibanya di lokasi, mangsa dipukul tiga pelajar lelaki. Mangsa ditampar pada muka dan ditendang berkali-kali sehingga terjatuh.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada dakwaan mangsa mengganggu teman wanita salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Khairul Anuar berkata kejadian itu turut dirakam seorang pelajar sebelum video berkenaan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan kemudiannya tular di media sosial.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 147 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, manakala Seksyen 507B membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

 

Must Watch Video

Advertisement