Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pertahankan BN di Endau untuk kelestarian pembangunan – Alwiyah

TB_BN ENDAU_AWANI
Alwiyah turut berpuas hati dengan tempoh 14 hari berkempen yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyantuni pengundi selain untuk membawa aspirasi BN pada kali ini. - Astro AWANI

MERSING: Calon Barisan Nasional N.32 Endau, Alwiyah Talib tekad untuk terus mempertahankan kerusi yang disandangnya bagi meneruskan segala agenda pembangunan yang beliau rencanakan selama ini.

Menurutnya, BN perlu berkuasa di kerusi berkenaan bagi membina jambatan kerjasama yang kukuh di peringkat negeri sekaligus dapat melancarkan segala perancangan transformasi.

“Pelbagai keluhan dan harapan telah disuarakan antaranya melibatkan kelompok anak muda, peniaga kecil, nelayan, dan sektor pertanian yang telah saya teliti.

“Bagaimanapun saya percaya segala yang telah diutarakan bukanlah perkara mustahil untuk dilaksanakan namun ia memerlukan persefahaman yang padu antara kawasan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bercakap mengenai soal kempen, Alwiyah menegaskan bahawa tempoh itu bukanlah satu perkara yang asing buat beliau sebaliknya ia merupakan rutin biasa yang diamalkan sebelum ini sepanjang berada di kawasan.

Dalam masa sama, beliau turut berpuas hati dengan tempoh 14 hari berkempen yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyantuni pengundi selain untuk membawa aspirasi BN pada kali ini.

“Ingin saya tegaskan, tempoh 14 hari ini (kempen) bukan perkara asing malah ia merupakan sebahagian daripada pendekatan saya sebelum ini menyantuni masyarakat setempat meskipun wujud perbezaan politik.

“14 hari yang begitu penting ini telah dimanfaatkan sepenuhnya (menyantuni pengundi) di samping membawa aspirasi BN khusus buat masyarakat di Endau,” katanya lagi.

Endau antara tumpuan kerusi kontroversi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berikutan kedudukan Alwiyah yang memutuskan ingin kembali bersama UMNO.

Pada PRN Johor 2022, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN), berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.

Saingan kali ini menyaksikan Alwiyah berdepan dengan tiga lagi pencabarnya terdiri daripada Saiful Nizam Samat daripada Pakatan Harapan (PH), Hasnul Hakimi Hussien yang mewakili PN, dan Jati Awang daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

Untuk rekod, statistik data pengundi terkini bagi DUN Endau mencatatkan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di kawasan berkenaan adalah seramai 28,767 orang.

Must Watch Video

Advertisement