Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pengundi muda Orang Asli teruja mengundi, harap wakil rakyat kotakan janji

[TB]_Grace Emily Nur Syafiqah Abdul Kamal Gabriel Eric PRN Johor_ASTRO AWANI
Dari kiri Grace Emily, Nur Syafiqah Abdul Kamal dan Gabriel Eric selesai menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Abang di sini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini. - Gambar Astro AWANI

MERSING: Golongan muda masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila hadir seawal pagi ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Abang di sini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Seawal jam 7.30 pagi, pekarangan sekolah mula dipenuhi pengundi termasuk anak muda daripada perkampungan Orang Asli sekitar Mersing yang hadir bersama ahli keluarga bagi memastikan mereka antara kumpulan terawal menunaikan tanggungjawab sebaik pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi.

Tinjauan Astro AWANI mendapati suasana di pusat mengundi berkenaan berlangsung tenang dengan pengundi beratur secara tertib, manakala petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota polis serta ejen calon masing-masing telah bersedia lebih awal bagi melancarkan proses pengundian.

Bagi Nur Syafiqah Abdul Kamal, 24, keterujaan untuk mengundi mendorongnya mengambil cuti lebih awal daripada majikan di Johor Bahru semata-mata mahu pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Masyarakat Asli suku Jakun itu berkata, dia mengambil cuti kira-kira seminggu sebelum hari pengundian bagi memastikan dapat pulang ke kampung tanpa sebarang halangan.

“Saya memang ambil cuti seminggu awal. Bagi saya mengundi ini satu tanggungjawab. Saya memang teruja nak datang awal pagi sebab orang belum ramai dan proses pun lebih cepat.

“Saya kenal semua calon yang bertanding dan saya nilai seorang demi seorang sebelum membuat pilihan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Bagi seorang lagi pengundi muda, Grace Emily, 19, pengalaman mengundi buat kali pertama disifatkan sebagai detik yang tidak akan dilupakan kerana akhirnya dapat menyertai proses demokrasi selepas cukup umur.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen dia yang merupakan graduan matrikulasi itu mengikuti perkembangan calon-calon yang bertanding sebelum membuat keputusan.

“Saya rasa sangat teruja sebab ini kali pertama saya mengundi. Saya harap calon yang saya pilih nanti bukan sekadar datang berkempen, tetapi benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan dan memberi sumbangan kepada masyarakat di sini,” katanya.

Dia juga berharap wakil rakyat yang dipilih dapat memberi lebih perhatian terhadap keperluan komuniti Orang Asli, khususnya dalam aspek pembangunan, peluang pekerjaan dan kebajikan penduduk.

Sementara itu, bagi Gabriel Eric, 21, golongan belia perlu memainkan peranan dalam menentukan masa depan kawasan mereka melalui proses pilihan raya.

Menurutnya, setiap undi yang diberikan membawa makna besar kerana ia menentukan kepimpinan untuk lima tahun akan datang.

“Sebagai anak muda, saya rasa ini tanggungjawab kita untuk datang mengundi. Kita perlu menentukan masa depan melalui pemimpin yang dipilih.

“Kalau kita sendiri tidak keluar mengundi, suara anak muda tidak akan didengari,” katanya.

Beliau yang pertama kali mengundi turut berharap lebih ramai belia Orang Asli tampil melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

Kerusi DUN Endau pada PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Alwiyah Talib; calon Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat; calon Perikatan Nasional (PN), Hasnul Hakimi Hussin; serta calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati Awang.

 

Must Watch Video

Advertisement