Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pengundi diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu - Fahmi

KOTA BHARU, 16 Jun -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas menyampaikan watikah pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Kelantan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi ingatkan pengundi agar sentiasa berwaspada dengan taktik sabotaj digital berikutan terdapat cubaan mewujudkan akaun palsu menggunakan wajah calon untuk menyebarkan fitnah sepanjang tempoh kempen bagi PRN Johor ke-16, yang berlangsung pada 11 Julai ini. - Gambar fail Bernama

MUAR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan pengundi agar sentiasa berwaspada dengan taktik sabotaj digital berikutan terdapat cubaan mewujudkan akaun palsu menggunakan wajah calon untuk menyebarkan fitnah sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang berlangsung pada 11 Julai ini.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau rapat sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu pilihan raya membabitkan taktik licik sedemikian.

Selain sabotaj berbentuk digital, Fahmi turut kesal dengan beberapa insiden khianat fizikal termasuk tindakan merosakkan bendera serta papan iklan calon yang disifatkannya sebagai fasa kempen tidak sihat dan kuno.

"Saya belum dapat maklumat terkini daripada MCMC, berapa kandungan yang telah dikenal pasti untuk diturunkan berkait dengan maklumat palsu ataupun election misinformation tapi semua platform telah memaklumkan election misinformation adalah satu bentuk pelanggaran garis panduan komuniti platform.

"Kita nak elak daripada berita palsu tersebar dan saya minta para pengundi selalu rujuk dengan media arus perdana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal di sebuah restoran, di sini, pada Khamis.

Fahmi juga berkata, perbuatan menggunakan elemen gengsterisme fizikal bagi tujuan menakut-nakutkan jentera parti mahupun orang ramai di lapangan perlu dihentikan segera demi memastikan perjalanan amalan demokrasi negara berjalan dengan harmoni.

Beliau berkata, kematangan landskap politik tanah air ketika ini menuntut semua calon yang bertanding untuk mengamalkan pendekatan berkempen secara sihat dan matang tanpa menjatuhkan keperibadian pihak lain.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan yang ditandingi calonnya pada PRN Johor berjalan lancar walaupun berdepan beberapa insiden kecil yang disifatkan sebagai cubaan mensabotaj kempen mereka.

Antaranya ialah, menurun dan merosakkan poster serta membakar bendera parti namun ia tidak memberi kesan terhadap momentum keseluruhan kempen PH yang sedang berjalan.

“Memang ada sedikit insiden seperti poster koyak, papan iklan rosak dan bendera dibakar tetapi secara keseluruhannya, kempen kita masih tenang dan momentum tidak terjejas,” katanya di Johor Bahru.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement