KUALA LUMPUR: Belgium menyeru agar kerjasama strategik antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN diperkukuh berlandaskan prinsip bersama serta undang-undang antarabangsa, sambil menegaskan bahawa persaingan geopolitik yang semakin meningkat menjadikan kerjasama antara rakan kongsi yang sehaluan lebih penting berbanding sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Belgium, Maxime Prevot berkata, kedua-dua rantau itu, yang mewakili lebih satu bilion penduduk, berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan kestabilan, keselamatan dan kebolehramalan ketika dunia berdepan ketidaktentuan antarabangsa yang semakin meningkat.
Beliau berkata, Eropah telah menjadi terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) dari segi ketenteraan, China dari segi perdagangan dan Rusia bagi bekalan tenaga.
“Sudah tiba masanya untuk kita sedar. Sudah tiba masanya untuk kita memperkukuh kerjasama strategik. Bukan dengan tujuan menentang mana-mana pihak, tetapi demi mempertahankan prinsip serta kepentingan bersama, bukannya mengamalkan fahaman pemencilan negara,” katanya ketika sesi ucapan menteri pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-39, di sini, pada Khamis.
Menyifatkan perkongsian EU-ASEAN sebagai model dialog, diplomasi dan kerjasama jangka panjang, Prevot menggesa kedua-dua rantau memanfaatkan dinamik global yang sedang berkembang bagi memperkukuh kerjasama.
“Jika saling bergantung menjadi realiti kita, maka multilateralisme perlu menjadi asas tindak balas kita. Multilateralisme merupakan sebahagian penting daripada DNA Belgium dan Eropah.
“Bagaimanapun, sistem multilateralisme kini berdepan tekanan. Oleh itu, ia perlu menyesuaikan diri bagi terus kekal berwibawa dan berkesan dalam dunia yang sentiasa berubah. Kedua-dua rantau mengutamakan dialog, diplomasi dan kerjasama, bukannya konfrontasi. Itulah haluan ke hadapan,” katanya.
Prevot turut mengumumkan keputusan Belgium untuk meratifikasi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) ASEAN, sambil menyifatkan langkah itu sebagai cerminan komitmen negaranya terhadap hubungan aman antara negara serta penglibatan yang lebih kukuh dengan Asia Tenggara.
Beliau menegaskan, pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa amat penting khususnya bagi negara bersaiz sederhana seperti Belgium, sambil menyifatkan orde antarabangsa berasaskan peraturan sebagai “satu-satunya perisai” negara itu untuk melindungi rakyat, ekonomi dan kemakmurannya.
Mengenai keselamatan, Prevot berkata, cabaran global masa kini melangkaui sempadan negara dan memerlukan tindak balas secara kolektif.
Beliau berkata, keselamatan kini bukan lagi tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata, malah turut merangkumi kestabilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang memerlukan kerjasama lebih erat antara negara dalam menangani isu-isu berkenaan.
Beliau turut menegaskan semula komitmen Belgium terhadap orde antarabangsa berasaskan peraturan serta sokongan kepada rangka kerja perundangan antarabangsa, termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
-- BERNAMA