Skip to main content

Dunia

Orang ramai serbu pasar raya Perancis beli penyaman udara susulan gelombang panas

Sumber: X/@cpasdeslol_X
Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan pelanggan memenuhi ruang pintu masuk dan meluru masuk ke dalam premis sebaik sahaja ia dibuka. - Foto media sosial

ISTANBUL: Orang ramai bersesak-sesak di sebuah pasar raya di pinggir Bandar Raya Paris, Nanterre pada Khamis apabila pelanggan bergegas untuk membeli penyaman udara mudah alih berdiskaun susulan gelombang haba yang sedang melanda Perancis, lapor  Anadolu Ajansi.

Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan pelanggan memenuhi ruang pintu masuk dan meluru masuk ke dalam premis sebaik sahaja ia dibuka, berikutan peningkatan mendadak permintaan terhadap peralatan penyejuk susulan suhu tinggi yang luar biasa di seluruh negara sejak beberapa hari lepas.

Ahli Parlimen Perancis Karl Olive berkata situasi sama turut dilaporkan berlaku di beberapa kedai lain, dengan ada dalam kalangan pelanggan sanggup beratur seawal 6 pagi waktu tempatan, sebelum premis berkenaan dibuka pada 8.30 pagi.

Menurut Olive, cawangan berkenaan telah mempromosikan kempen di seluruh negara yang menawarkan hampir 200,000 peranti penyejuk, termasuk penyaman udara mudah alih.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa kedai termasuk di Chambourcy, tidak mempunyai stok penyaman udara berkenaan apabila pelanggan masuk.

"Kekecewaan sepenuhnya: tiada penyaman udara yang tersedia, hanya kipas," tulisnya di platform media sosial X.

Tiada sesiapa pun mempertikaikan bahawa sesuatu produk itu boleh habis disebabkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Apa yang sukar diterima adalah ketiadaan maklumat jelas mengenai stok yang sebenarnya tersedia di setiap kedai," kata Olive.

Beliau menegaskan bahawa ramai pelanggan menunggu selama berjam-jam sebelum pulang dengan tangan kosong, dan memetik undang-undang pengguna Perancis yang menyatakan bahawa perniagaan tidak sepatutnya mengelirukan pengguna mengenai ketersediaan produk.

Media Perancis menyifatkan situasi serupa di seluruh negara itu sebagai "huru-hara" memandangkan peningkatan suhu yang melonjak telah memacu permintaan tinggi terhadap peralatan penyejuk.

Menurut akhbar Le Parisien, pertengkaran berlaku antara pelanggan yang berebut untuk mendapatkan baki kipas terakhir di sebuah kedai di Saint-Germain-en-Laye, sehingga memaksa pihak polis campur tangan bagi mengawal keadaan.

Saksi di sebuah lagi cawangan di Aubervilliers memberitahu akhbar berkenaan bahawa beberapa pembeli bertindak merempuh pintu kedai sebelum waktu operasi dan menolak pelanggan lain untuk menjadi yang terawal bagi mendapatkan peralatan berkenaan.

Perancis mengalami suhu tinggi yang luar biasa sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan banyak wilayah mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celsius, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap peralatan penyejuk.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

  

Must Watch Video

Advertisement