INGLEWOOD, CALIFORNIA: Sepanyol meneruskan kemaraan cemerlang di Piala Dunia apabila menewaskan Austria 3-0 dalam aksi pusingan kalah mati pada Khamis, hasil dua gol Mikel Oyarzabal serta satu lagi jaringan Pedro Porro.
Kemenangan itu memastikan La Roja mara ke pusingan 16 terbaik dan akan berdepan sama ada Portugal atau Croatia bagi merebut tempat ke suku akhir.
Sepanyol yang hadir sebagai antara pasukan pilihan kejohanan terus membuktikan keampuhan mereka apabila masih belum dibolosi sepanjang kempen setakat ini.
Anak buah Luis de la Fuente memulakan perlawanan dengan agresif, dengan bintang muda berusia 18 tahun, Lamine Yamal, berkali-kali mengancam benteng Austria dalam usaha mencari gol pembukaan.
Sepanyol hampir mendahului menerusi percubaan jarak dekat Marc Cucurella, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran ke atas penjaga gol Austria, Alexander Schlager.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang tepat Cucurella berjaya disudahkan Oyarzabal ke penjuru bawah gawang untuk meletakkan Sepanyol di hadapan.
Austria bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak gol sebelum rehat apabila Schlager bertindak cemerlang melakukan dua penyelamatan penting berturut-turut bagi memastikan pasukannya hanya ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.
Austria cuba bangkit selepas rehat dan memperoleh peluang terbaik menerusi tandukan Sasa Kalajdzic hasil hantaran lintang menarik ke dalam kotak penalti, namun bola hanya singgah di atas jaring.
Pasukan kendalian Ralf Rangnick yang layak ke peringkat kalah mati menerusi jaringan saat akhir ketika seri dengan Algeria sebelum ini terus bergelut untuk mencipta peluang jelas berdepan disiplin pertahanan Sepanyol yang begitu tersusun.
Sepanyol menggandakan kelebihan pada minit ke-66 menerusi tandukan Pedro Porro di hadapan stadium yang dipenuhi penyokong, termasuk pelakon terkenal Sepanyol, Penelope Cruz dan Javier Bardem.
Oyarzabal kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Sepanyol menerusi gol keduanya pada minit ke-89 selepas Austria melakukan kesilapan di bahagian pertahanan.
Ia merupakan gol keempat Oyarzabal dalam kejohanan kali ini.
Skuad juara dunia 2010 itu sebelum ini memulakan kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde yang menimbulkan persoalan mengenai prestasi mereka.
Namun, persembahan meyakinkan menentang Austria memberi petanda positif buat Sepanyol, terutama dengan kebangkitan semula Yamal yang kelihatan sudah pulih daripada kecederaan hamstring yang mengganggunya pada awal kejohanan.
Dengan momentum yang semakin meningkat dan pertahanan yang masih kebal, Sepanyol kini dilihat semakin hampir untuk merealisasikan impian menambah koleksi kejuaraan dunia kedua mereka. - Agensi