Skip to main content

Dunia

Gempa bumi Venezuela: Pengawal keselamatan ditemukan hidup selepas lapan hari terperangkap bawah runtuhan

Chilean rescue workers carry Hernán Alberto Gil Flores after he was pulled from the rubble eight days after he was trapped by twin earthquakes that struck Catia La Mar, Venezuela, Thursday, July 2, 2026. (AP Photo/Fernando Vergara)
Hernan Alberto Gil Flores berjaya dikeluarkan dari ruang bawah tanah pusat beli-belah Galerias Playa Grande awal pagi Khamis dalam satu operasi menyelamat yang disifatkan sebagai simbol harapan di tengah-tengah tragedi yang meragut ribuan nyawa. - Gambar AP

CATIA LA MAR, VENEZUELA: Seorang pengawal keselamatan berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup selepas lapan hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan susulan dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada 24 Jun lalu.

Hernan Alberto Gil Flores, 43, berjaya dikeluarkan dari ruang bawah tanah pusat beli-belah Galerias Playa Grande awal pagi Khamis dalam satu operasi menyelamat yang disifatkan sebagai simbol harapan di tengah-tengah tragedi yang meragut ribuan nyawa.

Mangsa ditemukan dalam keadaan berdebu dan diusung keluar menggunakan pengusung sambil diiringi pasukan penyelamat yang bersorak meraikan kejayaan operasi berkenaan.

Gil Flores dipercayai terperangkap sejak hari kejadian apabila bangunan itu runtuh akibat gegaran gempa bumi berkembar yang melanda wilayah pesisir La Guaira.

Pasukan penyelamat mula mengesan tanda-tanda kehidupan dan berjaya berhubung dengannya pada hujung minggu lalu sebelum melaksanakan operasi intensif selama lebih 100 jam untuk membebaskannya.

Mereka terpaksa berdepan struktur bangunan yang tidak stabil, hujan lebat serta gegaran susulan yang berterusan ketika menggali terowong menuju ke lokasi mangsa.

Sebaik berjaya dikeluarkan, Gil Flores yang memakai topeng oksigen dibawa melalui lautan manusia menuju ke ambulans untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Anggota penyelamat dari beberapa negara termasuk Chile, Costa Rica, Amerika Syarikat, Portugal, Mexico, El Salvador dan Venezuela turut dilihat meraikan kejayaan operasi itu.

Menurut anggota Palang Merah Costa Rica, Minyar Collado, mangsa pada awalnya meminta pasukan penyelamat agar tidak memaklumkan isterinya bahawa dia masih hidup kerana bimbang gagal diselamatkan.

"Namun kami tidak pernah berniat untuk meninggalkannya di situ," katanya.

Operasi itu dianggap satu keajaiban kecil selepas seminggu negara berkenaan berdepan kemusnahan akibat bencana alam.

Pasukan penyelamat berjaya memastikan Gil Flores terus hidup dengan membekalkan makanan, air dan nutrien cecair melalui ruang sempit ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syif malam berada di dalam pondok kawalannya ketika gempa pertama melanda.

Walaupun struktur konkrit di sekeliling runtuh, pondok kecil itu kekal utuh, sekali gus melindunginya daripada runtuhan besar serta menyediakan ruang udara yang membolehkannya terus bertahan.

Pasukan khas Palang Merah Costa Rica merupakan pihak pertama yang mengesan tanda-tanda kehidupan serta berjaya berhubung dengan mangsa pada Ahad lalu.

Isterinya, Gusbimar Gonzalez, berkata, dia hampir berputus asa sebelum dimaklumkan bahawa suaminya masih hidup.

"Apabila saya mendapat tahu dia masih hidup, saya nampak sinar harapan di tengah kegelapan," katanya.

Pasangan itu mempunyai dua orang anak berusia lapan dan 10 tahun.

Sepanjang operasi berlangsung, pasukan penyelamat menggunakan kamera teleskopik untuk berkomunikasi dengan Gil Flores serta menyalurkan air dan nutrien bagi memastikan keadaannya stabil.

Seorang anggota bomba veteran dari Chile, Maria Paz Campos turut memberikan sokongan moral kepada mangsa dan membantu menenangkannya sehingga saat-saat akhir sebelum berjaya dibawa keluar.

Dalam satu rakaman yang dikeluarkan pasukan bomba Chile sebelum operasi tamat, Gil Flores dilihat melukis bagi mengisi masa ketika menunggu bantuan tiba.

Bangunan berkenaan runtuh selepas Venezuela dilanda dua gempa bumi berturut-turut berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud pada 24 Jun lalu.

Bencana tersebut menyebabkan puluhan ribu bangunan rosak atau musnah di utara Venezuela, mengorbankan lebih 2,200 orang dan mencederakan lebih 11,000 yang lain.

Wilayah La Guaira dilaporkan menjadi kawasan paling teruk terjejas dalam tragedi berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement