KULAI: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bukit Permai, Datuk Jafni Md Shukor menolak tanggapan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah akan memberi kelebihan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Menurut penyandang kerusi itu, sentimen berkenaan tidak lagi relevan kerana pengundi kini lebih cenderung menilai prestasi dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang empat tahun lalu.
"Saya ingat perkara itu sudah tidak relevan lagi. Di Johor selama empat tahun ini, kita banyak mengamalkan gerak kerja 3T dan 1M. Semua YB termasuk Menteri Besar Johor turun padang bila ada isu.
“Keduanya, kita mengamalkan konsep teamwork, bekerja sebagai satu pasukan. Maksudnya di peringkat YB, di peringkat agensi negeri dan juga Persekutuan. Nak selesaikan satu isu, kita perlukan pasukan termasuk melibatkan utiliti seperti TNB dan SAJ," katanya kepada pemberita selepas sesi ‘walkabout’ di Senai, baru-baru ini.
Beliau berkata, pendekatan itu turut disokong amalan micromanagement yang menyaksikan pemimpin kerajaan negeri turun sendiri memantau isu-isu harian rakyat.
"Sebab itu di peringkat kepimpinan kerajaan negeri termasuk saya sendiri, kadang-kadang kita turun ke ground tengok isu longkang, isu banjir, isu lampu dan sebagainya.
"Perkara-perkara itu dekat dengan masyarakat dan kita yakin bahawa selama empat tahun ini kita serahkan balik prestasi Barisan Nasional kepada rakyat untuk menilai," katanya.
Dalam pada itu, Jafni menyifatkan persaingan di Bukit Permai kali ini lebih menjurus kepada pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH), berbanding parti-parti lain yang turut bertanding.
Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat melalui sambutan terhadap calon-calon yang bertanding ketika hari penamaan calon.
"Empat tahun yang lepas saya masih ingat kehadiran penyokong-penyokong Bersatu itu lebih daripada 600 atau 700 orang. Tetapi kali ini sangat berbeza. Yang datang penyokong dia dalam sekitar 30 hingga 40 orang sahaja.
"Sebab itu di DUN Bukit Permai saingan kita sebenarnya ialah Pakatan Harapan. Di Bukit Batu juga begitu dan di Senai pun begitu," katanya.
Mengulas prestasi kerajaan negeri, Jafni berkata, kejayaan meningkatkan hasil Johor membolehkan lebih banyak bantuan dan inisiatif disalurkan kepada rakyat.
"Empat tahun yang lepas hasil kerajaan negeri Johor RM1.6 bilion. Lepas itu setiap tahun naik. Tahun lepas kita catat satu angka yang luar biasa iaitu RM2.67 bilion.
"Maknanya lebih dekat satu bilion pertambahan hasil. Dan setelah itu, sebahagian besar kita pulangkan balik kepada rakyat melalui bantuan-bantuan yang kita laksanakan," katanya lagi.
Jafni yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukan terletak pada retorik politik semata-mata, tetapi sejauh mana rakyat dapat merasai manfaat daripada dasar yang dilaksanakan.
"Hari ini rakyat dia tak nak lihat siapa yang hebat bercakap. Siapa yang pandai bercakap.
"Tetapi dia nak tengok apa yang rakyat dapat. Apa yang rakyat rasa. Kos sara hidup tinggi. Macam mana kita nak atasi masalah itu.
“Sebab itu di Johor, apabila berlaku tekanan ekonomi, kita keluarkan bantuan kepada rakyat supaya mereka boleh bayar sewa rumah, beli buku anak-anak dan berbelanja di kedai-kedai kecil," katanya.
Pada PRN Johor 2022, Jafni memenangi DUN Bukit Permai denganmajoriti 4,755 undi dalam pertandingan empat penjuru.
DUN berkenaan merupakan salah satu daripada tiga kerusi di bawah Parlimen Kulai bersama Senai dan Bukit Batu.
Pada PRN Johor kali ini, Jafni berhadapan saingan empat penjuru menentang Mohamad Shafwan Ani daripada Pakatan Harapan (PH), M. Lina Manoh yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof daripada Parti Bersama Malaysia.
Bagaimanapun, Jafni yakin pengundi akan membuat keputusan berdasarkan rekod pentadbiran dan pencapaian kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.
"Memang kita menghadapi tekanan yang agak kuat. Tetapi saya yakin dan percaya rakyat Johor akan memberi mandat semula kepada Barisan Nasional untuk negeri Johor yang kita cintai," katanya.