TEHRAN: Iran sedang mempergiat persiapan menjelang upacara pengebumian pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di ibu negara.
Potret gergasi Khamenei telah dipasang di sekitar Grand Mosalla Tehran, manakala pekerja bertungkus-lumus menyiapkan lokasi utama yang bakal menjadi tumpuan jutaan rakyat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh berusia 86 tahun itu.
Upacara pengebumian yang sebelum ini ditangguhkan susulan konflik bersenjata di Asia Barat akan diteruskan ketika Iran dan Amerika Syarikat sedang mematuhi gencatan senjata yang masih rapuh selepas persetujuan awal dicapai bagi menghentikan konflik tersebut.
Jenazah Khamenei akan ditempatkan untuk penghormatan awam bermula Sabtu di Grand Mosalla, sebuah kompleks besar yang lazim digunakan untuk solat Jumaat, acara rasmi negara dan perhimpunan keagamaan.
Jenazah beberapa ahli keluarganya yang turut terbunuh dalam serangan sebelum ini dijangka dibawa bersama dalam upacara berkenaan.
Pihak berkuasa menganggarkan antara 15 hingga 20 juta individu akan menghadiri siri acara perkabungan itu, sekali gus berpotensi menjadikannya pengebumian rasmi terbesar pernah diadakan dalam sejarah negara tersebut.
Di lokasi acara, kerja-kerja menaik taraf dan persiapan akhir terus dilakukan dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan.
Rakaman televisyen kerajaan menunjukkan pelbagai struktur tambahan sedang dipasang bagi menampung jumlah kehadiran yang dijangka luar biasa.
Media kerajaan turut menggesa orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan, selain mengingatkan pelawat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca panas yang dijangka melanda Tehran sepanjang tempoh upacara berlangsung.
Beberapa laluan utama di bandar raya itu juga telah ditutup lebih awal sebagai persediaan menghadapi kemasukan pelawat dalam jumlah besar.
Sementara itu, satu majlis khas melibatkan ketua negara dan wakil asing dijadual berlangsung pada Jumaat.
Menurut jawatankuasa penganjur, wakil daripada kira-kira 30 negara dijangka menghadiri acara tersebut, termasuk dari Iraq, Afghanistan dan Pakistan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, stesen televisyen kerajaan memperbanyakkan siaran dokumentari dan program khas yang mengimbau perjalanan hidup serta legasi politik Khamenei yang menerajui Republik Islam Iran sejak 1989.
Upacara pengebumian itu dijangka menjadi antara detik paling penting dalam sejarah moden Iran ketika negara berkenaan memasuki fasa peralihan kepimpinan selepas hampir empat dekad berada di bawah pemerintahan Khamenei. - Agensi